Syed Saddiq tak akan tarik laporan polis terhadap Papagomo


Asila Jalil

Kita kena berani kerana benar, kata Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahmah berkaitan dakwaan Papagomo mengasarinya ketika hari penamaan calon PRK Semenyih Sabtu lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Februari, 2019.

KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan menarik balik laporan polis dibuatnya terhadap Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Katanya, beliau tidak akan menarik balik laporan tersebut kerana percaya beliau berada di pihak yang benar.

“Kita kena berani kerana benar,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat bersama Pemuda Pakatan Harapan malam tadi.

Katanya, beliau sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kajang semalam bersama-sama beberapa orang saksi lain.

Katanya, kemajuan siasatan adalah baik dan beliau akan membiarkan polis menjalankan siasatan.

Syed Saddiq membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sg Way, di Petaling Jaya selepas penamaan calon pada Sabtu, didakwa dikasari oleh Wan Muhammad Azri, yang lebih dikenali sebagai Papagomo pada hari itu.

Papagomo direman tiga hari sehingga semalam selepas ditahan dirumahnya.

Syed Saddiq berkata polis sudah mengatakan yang kawasan dilaluinya pada Sabtu bukanlah tempat pertemuan penyokong Barisan Nasional (BN).

“Mereka datang dari jauh dan kejar kami. Saya hanya beri ‘salam’ bila mereka keluarkan kata-kata menghina.

“Mereka boleh guna taktik kotor ini tetapi rakyat akan nampak,” tambahnya. – 21 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen