‘Bossku’ baik untuk Najib, buruk untuk BN, kata Syed Saddiq


Asila Jalil

Imej Bossku dipopularkan Najib Razak boleh beri kesan buruk untuk BN kerana penduduk Semenyih lebih berminat jumpa Najib berbanding calon BN, Zakaria Hanafi, kata Ketua Pemuda Amanah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Februari, 2019.

POPULARITI yang timbul daripada imej “Bossku” bekas perdana menteri Najib Razak adalah seperti “double edged sword”, kata Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, orang tempatan lebih berminat dengan Najib berbanding calon Barisan Nasional untuk PRK Semenyih, Zakaria Hanafi.

“Saya rasa Bossku adalah ‘double edged sword’. Semua orang di sini cari Datuk Seri Najib dan bukannya calon BN,” katanya kepada wartawan selepas perjumpaan dengan Pemuda Pakatan Harapan di Beranang, Semenyih malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada beliau risau dengan populariti Najib yang mungkin membayangi calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali dalam pilihan raya kecil itu.

“Saya di sini bukan hendak bercakap buruk tentang Datuk Seri Najib. Kita mahu lebih fokus kepada memberikan perkhidmatan politik di kawasan ini,” tambahnya.

Katanya juga, Aiman juga akan memberikan lebih banyak fokus berkhidmat kepada penduduk Semenyih.

Pada kemunculan pertamanya dalam kempen di flat Bandar Tasek Kesuma, Ahad lalu, Najib berjaya menarik hadirin hampir 500 orang. Beliau juga menarik ratusan penyokongnya hadir untuk bertemunya di Pasar Rabu semalam.

PRK Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, kerana serangan jantung pada 11 Januari.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan calon PH, Aiman, Zakaria (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan Kuan Chee Heng (Bebas). – 21 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen