Putrajaya tidak akan berfungsi tanpa GST, kata perdana menteri


Asila Jalil Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Najib Razak pada sesi dialog TN50 bersama wanita yang diadakan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 September, 2017.

PUTRAJAYA tidak akan berfungsi tanpa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mana cuba dihapuskan pembangkang sekiranya memenangi Putrajaya pada pilihan raya akan datang, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Bercakap pada program dialog TN50 bersama wanita sempena Hari Wanita Kebangsaan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, Najib berkata GST merupakan sumber pendapatan negara dan tanpanya banyak program yang dicadangkan orang ramai tidak dapat dilaksanakan.

“Saya tak cakap main-main, saya ini menteri kewangan saya tahu kalau kita tolak RM42 bilion daripada hasil negara, anda tak akan ke mana dan kerajaan tidak akan berfungsi.

“Ini kerana tiada apa yang boleh kita lakukan jika kita menolak pendapatan negara RM42 bilion, semua program wanita tidak dapat dijalankan,” katanya dan menambah rakyat jangan mudah percayakan pembangkang.

“Jangan percayakan pembangkang. Cakap memang mudah. Sebagai perdana menteri saya boleh buat apa yang saya katakan. Saya bukan hanya bercakap untuk sedapkan hati anda semua.

“Saya tahu sekiranya ada perkara yang tidak boleh dilakukan atau realistik,” kata Najib kepada kira-kira 1,000 hadirin.

Antara perkara yang dibangkitkan wanita dari pelbagai latarbelakang adalah keperluan kemudahan di sekolah di Kuala Langat, kemudahan golongan kelainan upaya di sektor kerajaan serta usaha kerajaan untuk menyediakan pusat perlindungan kepada gelandangan.

“Nak menguruskan belanjawan ini macam urus rumah tangga, prinsipnya kita berbelanja apa saja. Kalau terpaksa kita pinjam dari ah long.

“Tapi itu akan menyebabkan  masalah untuk kita, dan begitu juga dengan kita ( kerajaan) kita juga tidak akan ada pendapatan negara.

“Ingat nak lakukan segala program ini daripada mana (dana)ia tak datang daripada langit ia datang dari punca hasil negara (GST),” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menjawab persoalan yang dibangkitkan NGO berhubung Rang Undang- Undang Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (LRA) yang mahu ia dibentangkan dengan memasukkan Klausa 88A di Parlimen.

Najib berkata ia memerlukan dua pertiga majoriti bagi mengubah undang-undang dalam Perlembagaan.

“Kami memerlukan kematangan dan dua majoriti ketiga untuk mengubah Perlembagaan tetapi saya tidak mempunyainya,” katanya.

Akta LRA yang dipinda bagi menyelesaikan isu mengenai masalah pertukaran agama anak diluluskan di Parlimen pada 10 Ogos tanpa klausa 88A.

Klausa 88A membenarkan agama anak kekal sebelum penceraian ibu bapa hingga berumur 18 tahun. – 4 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen