Politik Melayu tak berubah sejak 9 Mei


PENDIRIAN Perkasa menolak calon Pakatan Harapan dalam PRK DUN Semenyih bukan satu yang asing. Pelbagai NGO dan parti Umno-PAS cuba membawa pendekatan isu kepentingan Melayu di PRK kali ini memandangkan undi Melayu sebanyak 68%. Ia satu petanda bahawa politik orang Melayu masih sama semenjak 9 Mei 2018.

Kewujudan golongan Melayu veteran yang menunggang keistimewaan Hak Melayu semakin meningkat saban hari. Mereka sanggup mengambil kesempatan menyatakan tentang perpaduan Melayu dibawah payung parti Umno-PAS tanpa menghiraukan kemudaratan yang dibawa pemimpin Melayu kedua-dua parti ini yang telah merosakkan urus tadbir Malaysia.

Adakah mereka fikir orang Melayu tidak kecewa dengan Umno-PAS dan pendirian lemah mereka?

Orang Melayu sebenarnya telah meluahkan perasaan kecewa itu pada 9 Mei yang lalu. Cuma, perubahan itu tidak memberi satu pengajaran kepada pemimpin Umno yang perlu kekal relevan berhadapan dengan kekalahan pertama dalam pilhan raya umum. Mereka seharusnya membuat pendekatan lebih matang dengan idea dan cadangan. Namun, mereka memilih untuk memainkan isu politik agama dan bangsa.

Pasca PRU14 menyaksikan pemimpin Umno-PAS gagal menjadi pembangkang yang berwibawa. Mereka menganggap memainkan isu perkauman dan saling menuduh itu merupakan tanggungjawab sebagai pembangkang.

Mereka menuduh pihak lain seperti DAP menggugat hak Melayu. Tetapi, mereka tidak sedar yang bertanding itu calon majoriti Melayu, ada calon bebas bukan Melayu dan DAP tidak meletakkan calon mewakili PH. Namun, mereka tetap menggunakan sentimen lama dalam meraih sokongan.

Malangnya, pemimpin Melayu Umno-PAS masih sukar menilai hukum “berbohong’” yang dibuat oleh ahli partinya sendiri. Apakah pendirian Perkasa dalam hal ini? Adakah orang Melayu perlu mengundi parti yang mengatakan “berbohong” itu biasa walaupun di PRK Semenyih?

Sebenarnya, orang Melayu telah hilang pemimpin yang jujur dalam menegur orang Melayu tentang nasib mereka. Onn Jaafar berjaya menyatukan Melayu untuk menjatuhkan penjajah, tetapi pada masa yang sama sedar akan nasib bangsanya yang ketinggalan, sehingga idea untuk membuka keahlian kepada pelbagai kaum disisih dan dipandang rendah oleh pemimpin Umno.

Hari ini pemimpin Melayu Umno-PAS mahu menyatukan umat Melayu untuk melawan rakan sebangsanya sendiri kerana berbeza parti, dan mereka sanggup mempertahankan pemimpin Melayu yang “berbohong” dan salah guna wang rakyat selama memerintah. Mereka terpaksa “menunggang” orang Melayu sendiri untuk meneruskan agenda kuasa mereka.

Kalau dahulu, dunia mengenali orang Melayu sebagai pakar pelayaran, hari ini dunia mengenali pemimpin Melayu Umno yang mencuri wang rakyat dan hati orang Melayu yang mudah untuk ditunggangnya bagi kekal berkuasa.

Orang Melayu Umno sendiri tidak dapat mengubah nasib mereka dalam parti. Pemilihan Umno selepas kekelahan PRU14 membuktikan politik Melayu itu tidak berubah, masih mengekalkan “tuan” lama dan status quo elit Melayu menerajui Umno. Usaha mengubah Umno kini satu perkara yang agak sia-sia, kerana mereka lebih gemar mencari kelemahan orang Melayu untuk menguatkan diri mereka.

Bagaimana Perkasa dan gabungan Umno-PAS dapat mengubah nasib Melayu sedang mereka masih tidak berubah?

Orang Melayu sebenarnya berdaya saing dan berkebolehan. Mereka harus lenyapkan mitos palsu yang menyuruh orang Melayu percaya bahawa mereka mangsa penindasan ekonomi di tanah mereka sendiri. Orang Melayu, terutamanya golongan muda, perlu mencari kekuatan dalam aspek ekonomi dan ilmunya.

Matlamat utama penguasaan ekonomi ini bukan menjadikan orang Melayu jutawan, tetapi bagi memastikan orang Melayu hidup dalam keadaan sihat, sejahtera dan sederhana.

Apa kaitan ekonomi Melayu dan hidup sejahtera?

Jika orang Melayu percaya kepada peluang dan kekuatan ekonomi, mereka mampu melihat pelbagai peluang dan ruang dalam meningkatkan kualiti hidup. Kestabilan kewangan akan memberi orang Melayu kelebihan untuk bersikap bertanggungjawab, positif dan berintegriti. Maka, mereka punyai kuasa membuat keputusan dalam memilih urusan politik sebagai semak dan imbang kepada pemimpin Melayu yang sering mendakwa Melayu tertindas dalam ekonomi.

PRK Semenyih tidak seharusnya menjadi medan penyebaran ketakutan buat pengundi Melayu untuk bebas membuat keputusan sendiri. Sebaliknya, pengundi Melayu PRK Semenyih perlu diberikan peluang memilih calon yang boleh meningkatkan kualiti hidup dan ekonomi orang Melayu di peringkat negeri dan tempatan.

Kepada pemimpin Perkasa dan Umno - PAS, adalah lebih baik mencari kekuatan sendiri tanpa menakutkan orang Melayu. Beri orang Melayu ruang untuk memilih dengan matang dalam PRK Semenyih ini.

Berilah orang Melayu peluang untuk menentukan nasib mereka dengan bebas tanpa rasa takut yang selama ini ditanam oleh Umno - PAS demi mendapatkan sokongan Melayu, walaupunn di Semenyih mahupun satu pelosok negara. – 20 Februari, 2019.

*Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen