PUTERA William dan isterinya, Kate dijangka akan menyambut kelahiran cahaya mata ketiga, umum Istana Kensington hari ini menambah yang Kate tidak akan menghadiri majlis rasmi yang sudah dirancang kerana mengalami mabuk hamil yang teruk.
Berita baik itu dikeluarkan seminggu selepas anak sulung pasangan diraja itu, Prince George yang berusia empat tahun memulakan persekolahan di London. Mereka juga mempunyai seorang lagi anak perempuan, Puteri Charlotte berusia dua tahun.
“Duke dan Duchess Canmbridge berkenan mengumumkan yang mereka dijangka menimang anak ketiga,” kata istana dalam satu kenyataan.
William yang merupakan pewaris kedua takhta England itu dan nendanya, Ratu Elizabeth II bersama ahli keluarga diraja yang lain dikatakan sangat “gembira” dengan berita itu.
Istana turut mengesahkan yang “seperti mana kehamilan sebelum ini, Duchess (Kate) mengalami Hyperemesis Gravidarum”, sejenis mabuk kehamilan yang teruk. – AFP, 4 September, 2017.
Komen