SEJUMLAH 87,000 yang kebanyakannya pelarian Rohingya tiba di Bangladesh selepas keganasan tercetus di Myanmar pada 25 Ogos lalu, kata Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Ribuan minoriti tanpa warganegara beragama Islam itu lari meninggalkan negara manjoriti Buddha, Myanmar dan memenuhi sempadan dua negara itu sejak keganasan tercetus, meningkatkan ketegangan di kem pelarian yang sudah sarat manusia di Bangladesh.
Sementara 20,000 lagi kini berkumpul di sempadan antara Bangladesh dan negeri Rakhine, di barat Myanmar menunggu keizinan untuk memasuki sempadan, kata PBB dalam satu laporan.
Dhaka meningkatkan kawalan keselamatan sempadan selepas keganasan yang berlaku kira-kira 10 hari lalu.
Tetapi sejak beberapa hari ini, pengawal sempadan Bangladesh membenarkan pelarian memasuki negara itu dan menurut PBB tiada cubaan menghalang pelarian dilaporkan.
Sejak lima tahun lepas, negeri Rakhine dipisahkan mengikut sempadan agama dan kaum, tetapi keganasan terbaru ini adalah yang terburuk.
Ramai pelarian yang lemas ketika cuba menyeberani sempadan di Sungai Naf.
Kebanyakan pelarian yang baru tiba kini berkumpul di kem berhampiran sempadan, menurut PBB bantuan kemanusian banyak dilakukan masyarakat tempatan.
Rakhine dilanda keganasan agama sejak 2012, ramai masyarakat etnik Rohingya terbunuh dan ratusan ribu lagi terpaksa melarikan diri menjadi pelarian.
Keganasan terbaru berlaku apabila militia Rohingya menyerang pusat kawalan polis membunuh 15 pegawai dan membakar perkampungan.
Ketua tentera Myanmar mengatakan hampir 400 orang terbunuh sejak kejadian itu termasuklah 370 militia Rohingya.
Pasukan keselamatan Myanmar kini melancarkan operasi “pembersihan” untuk menghapuskan pemberontak dan militia yang semakin berkembang kerana ramai lelaki Rohingya kini menyertai pemberontakan itu.
Kumpulan hak asasi mendakwa berlakunya pembunuhan beramai-ramai di kawasan pendalaman yang dilakukan polis dan tentera Myanmar serta sami Buddha di Rakhine.
Komuniti Rohingya berjumlah sekitar sejuta orang dipinggirkan di Myanmar. Mereka dianggap pendatang haram dari Bangladesh walaupun sudah bergenerasi menetap di Myanmar. – AFP, 4 September, 2017.
Komen