BEKAS perdana menteri Najib Razak kesal dengan tindakan pemimpin kerajaan yang menjadikan beliau sebagai sasaran serangan dalam kempen pilihan raya kecil DUN Semenyih.
Najib yang tampil dengan imej baharu untuk mendekati rakyat dengan gelaran “Bossku” itu berkata pilihan raya kecil ini adalah untuk rakyat dan bukan mengenai dirinya.
Katanya, pemimpin kerajaan Pakatan Harapan juga seharusnya memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat dan bukannya berfikiran sempit menggunakan dirinya sebagai bahan kempen mereka.
“Kita kena berjuang untuk kepentingan rakyat atas isu-isu yang melibatkan rakyat.
“Ini sudah menjadi sangat peribadi. PRK ini bukan tentang saya tetapi rakyat,” katanya ketika berkempen di Bandar Bukit Mahkota hari ini.
Najib menjawab sindiran pemimpin kerajaan, antaranya Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali yang mengungkit mengenai kes dihadapi beliau dan isteri, Rosmah Mansor di mahkamah.
Azmin semalam antara lain berkata, Najib tidak berani membawa Rosmah untuk berkempen di pilihan raya kecil itu disebabkan kes berkenaan.
Najib menghadapi 42 tuduhan di mahkamah berhubung dakwaan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berhubung 1Malaysia Development Bhd.
Rosmah pula berdepan tuduhan meminta sogokan dan menerima wang berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di ratusan sekolah.
Namun Najib berkata beliau tidak mengendahkan perkara yang dibangkitkan itu dan mendakwa melihat petanda yang positif untuk kemenangan calon Barisan Nasional.
“Malam pertama saya datang di Tasik Kesuma sambutan cukup hangat. Kebetulan MB Selangor dan Azmin Ali ada ceramah dalam 100 ela daripada tempat kita.
“Saya nampak gambar dalam Facebook lebih banyak kerusi kosong daripada orang. Gambar tidak boleh tipu. Sambutan ceramah kita lebih hebat,” dakwanya.
Najib turut membidas Pakatan Harapan yang menurutnya cuba menabur janji baharu sedangkan janji lama masih belum tertunai.
Katanya, pengumuman kerajaan untuk menyalurkan RM100 kepada golongan bujang juga dibuat ekoran tekanan beliau ke atas PH,
“Bila saya dok asak-asak, tiba-tiba orang bujang boleh dapat RM100 Bantuan Sara Hidup.
“Kalau BN berkuasa dapat RM650. Tipu rakyat sekali lagi. Rakyat sudah letih dengan penipuan PH,” ujarnya.

Ini merupakan kemunculannya yang kedua di Semenyih sejak minggu lalu.
Dalam kunjungan awal, Najib ketika mengunjungi sebuah pasaraya besar di Semenyih menyindir kerajaan kerana didakwa tidak berjaya menangani kenaikan harga barang.
Malah, troli yang dibawanya juga tidak penuh walau membelanjakan RM50, kata Najib yang dihurung penyokong dalam kunjungan tersebut.
Kenyataan itu turut diselar Azmin yang membangkitkan kes dihadapi Najib.
Katanya, rakyat masih ingat troli yang digunakan polis untuk membawa pelbagai barang kemas dan wang tunai berjumlah lebih RM1 bilion dari rumah Najib, tiga bulan lalu.
Dalam operasi tiga bulan lalu, polis terpaksa menggunakan troli untuk memunggah 284 kotak berisi beg tangan jenama terkemuka, aksesori mewah dan wang tunai. – 20 Februari, 2019.
Komen