Kes SSM, 4 lagi pejabat diserbu di Pahang, Sarawak 


Kalidevi Mogan Kumarappa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu empat pejabat di Pahang dan Sarawak dalam siasatan berkaitan pemberian kontrak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang merugikan kerajaan sehingga RM200 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2019.

EMPAT buah pejabat di Pahang dan Sarawak diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan dakwaan rasuah dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Operasi itu yang dijalankan semalam, berhubung dengan salah laku dalam penganugerahan kontrak yang didakwa tidak dibuat secara tender terbuka.

Ia berkait dengan projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia bernilai RM500 juta yang diberikan secara langsung kepada Formis Network Services Sdn Bhd.

“Kes di Sarawak itu membabitkan dua buah projek berkaitan bangunan SSM itu sendiri yang diberikan secara rundingan terus.

“Di Pahang pula, kami sedang menyiasat ketelusan projek yang dijalankan oleh Koperasi SSM,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sumber berkata, semua projek yang disiasat itu diberikan tanpa melalui proses tender dari tahun 2014 hingga 2018.

Katanya, isu projek rundingan terus ini membabitkan pegawai kanan SSM di ibu pejabat dan mempunyai kaitan dengan pegawai di SSM negeri.

“Hasil serbuan dari jam 9 pagi hingga 6.30 petang itu, sebanyak lima kotak yang mengandungi lebih 20 fail berkaitan projek dirampas.

“Turut ditemubual tujuh orang termasuk seorang pengarah SSM negeri dan beberapa pengarah syarikat,” katanya.

Operasi ke atas SSM bermula apabila sebuah pergerakan masyarakat sivil mendedahkan korupsi berlaku dalam agensi tersebut, dan ia dibangkitkan oleh Bung Mokhtar Radin dalam Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2019.

Projek berkenaan yang diberikan melalui kontrak secara rundingan terus bagi tempoh lima tahun, dengan lanjutan mandatori untuk lima tahun apabila tamat, didakwa akan menyebabkan kerajaan rugi lebih RM250 juta.

Selain projek bernilai RM500 juta itu, SPRM turut menyiasat pemberian projek tanpa melalui tender terbuka oleh SSM sejak tahun 2009.

Hasil siasatan dan serbuan secara berterusan ke atas SSM dan syarikat berkaitannya sejak 9 Januari lalu, SPRM difahamkan menemui beberapa bahan bukti baru yang membolehkan suruhanjaya itu disiasat atas beberapa kes lain.

Selain dakwaan penyelewengan kontrak sistem komputer, SSM kini sedang disiasat berhubung perolehan dan pembelian beberapa bangunan pejabatnya di seluruh negara antaranya di Sarawak yang keseluruhannya bernilai RM30 juta.

Jejak kes rasuah, kronisme dan pengubahan wang haram itu membawa SPRM ke lebih 10 buah pejabat, tidak termasuk gudang, bengkel serta kediaman individu dikaitkan dengan kes tersebut setakat ini.

Operasi itu digerakkan susulan gesaan satu pertubuhan masyarakat yang menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam SSM.

Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.

Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin di Dewan Rakyat pada 12 November lalu, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM. – 20 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen