Husam dipanggil SPRM kes RM90 juta duit Umno


Kalidevi Mogan Kumarappa

Husam Musa turut dipanggil SPRM bagi mendapat keterangan beliau berhubung penerimaan dana RM90 juta daripada Umno kepada PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2019.

NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Husam Musa dirakam keterangannya di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, malam ini.

The Malaysian Insight difahamkan Husam dipanggil untuk diambil keterangan berhubung dakwaan penerimaan dana RM90 juta daripada Umno oleh beberapa pemimpin PAS yang kini dalam siasatan SPRM.

Sumber berkata, Husam tiba kira-kira jam 9.25 malam di pejabat SPRM Kelantan dan sehingga kini masih berada di bangunan itu.

Penyiasat anti rasuah sudah merakam keterangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas pemimpin parti Islam itu, Nasharudin Mat Isa berhubung siasatan kes berkenaan malah bekas Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreeevasan diklasifikan sebagai saksi utama dalam siasatan kes berkenaan.

Keterangan Ambiga penting untuk siasatan kes berkenaan berikutan dakwaan oleh Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam artikelnya ketika mendakwa PAS menerima dana daripada Umno.

Siasatan itu dimulakan SPRM susulan laporan polis oleh orang awam selepas Presiden Pas Abdul Hadi Awang menarik balik saman ke atas editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung tuduhan berkenaan.

Kedua-duanya menyelesaikan saman tersebut di luar mahkamah London pada minggu lalu namun artikel 6 Ogos 2016 berhubung tuduhan PAS menerima wang itu kekal di portal Sarawak Report.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Selain itu, polis dan SPRM turut menyiasat rakaman audio suara Nik Mohamad Abduh mengenai pengakuannya parti Islam itu menerima dana dari Umno.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan rakaman audio yang tersebar adalah suara Nik Mohamad Abduh namun maksudnya bukan seperti yang dicanangkan oleh pihak tertentu.

Oleh itu, Takiyuddin meminta semua pihak meneliti keseluruhan ucapan Nik Abduh untuk memahami maksud sebenar memandangkan banyak huraian disampaikan, dan bukannya mendengar separuh saja daripada rakaman itu.

Pada Februari tahun lalu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, sebuah klip audio tersebar di media sosial, didakwa “bukti” penyaluran wang oleh Umno kepada PAS.

Potongan rakaman itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Wang berkenaan didakwa digunakan pada pilihan raya negeri Sarawak pada 2016 dan untuk menjatuhkan DAP.

Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio tersebut termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan menantu Abdul Hadi, Zaharuddin Muhammad. – 19 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen