Zahid akan putuskan bila cuti akan berakhir


Asila Jalil

Zahid Hamidi baru-baru ini mendakwa beliau berjumpa dengan ahli kasyaf yang mendakwa ada 'peristiwa besar' akan berlaku pada tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Februari, 2019.

AHMAD Zahid Hamidi yang kini sedang bercuti daripada tugasnya sebagai presiden Umno berkata beliau akan memutuskan masa untuk menamatkan cuti beliau ketika meninjau kempen Barisan Nasional di Semenyih hari ini.

Walaupun beliau tidak dimasukkan dalam senarai acara kempen Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil itu, Zahid berkata beliau akan berada di kawasan pilihan raya bagi menghadiri acara yang dianjurkan oleh NGO Akhirat Di Depan.

“Saya akan membuat keputusan nanti,” katanya ketika ditanya berapa lama beliau akan bercuti.

Ahmad Zahid mengambil cuti dari tugas beliau sebagai presiden Umno selepas didakwa melakukan pecah amanah dalam kes-kes yang melibatkan Yayasan Akalbudi.

Beliau kini berdepan dengan 46 pertuduhan.

Zahid memutuskan untuk bercuti Disember lalu dan melantik timbalannya Mohamad Hasan untuk memangku tugas presiden parti.

Beliau berkata keputusan itu juga dibuat sebagai usaha menghentikan penggubal undang-undang daripada terus meninggalkan parti itu.

Sebelum peletakan jawatannya, Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin meninggalkan parti bersama-sama dengan 5 yang lain dan berkata lebih banyak ahli parti itu akan meletakkan jawatan jika Zahid tidak meletak jawatan.

Kurang dari dua bulan selepas mengambil cuti, Zahid kemudian membuat penampilan pertamanya di depan umum dengan menghadiri forum bertajuk “Kerjasama PAS Umno: Seberapa jauh ia boleh pergi?” Di Bagan Datuk, Perak, di mana beliau merupakan ahli parlimen dan ketua bahagian .

Pada majlis malam ini, Zahid berkata beliau tidak datang ke Semenyih untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) dengan kempen pilihan raya kecil itu.

“Saya datang sebagai individu untuk acara yang dianjurkan oleh NGO.

“Walaupun saya bercuti (sebagai presiden parti), saya tidak pernah mengambil cuti sebagai ahli Umno,” katanya.

Konvoi bermula pada pukul 6 petang dan berhenti di dua buah surau sebelum berakhir di sebuah restoran.

Zahid yang berpakaian baju melayu dan kain pelikat menunggang motosikal ke ketiga-tiga destinasi tersebut. – 19 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen