TENTERA Filipina percaya Abdullah Maute, ketua kumpulan pengganas yang bertanggungjawab menyerang Marawi City, terbunuh dalam satu serangan udara bulan lalu.
Maklumat itu diperolehi hasil risikan tentera yang berjaya memintas komunikasi antara kumpulan pengganas Maute dengan IS di aplikasi media sosial Telegram, lapor media di Filipina.
“Abdullah Maute sudah terbunuh. Perbualan di Telegram menunjukkan dia sudah mati,” kata ketua tentera Filipina, Carlito Galvez seperti dipetik oleh portal berita Rappler.
Menurut Rappler, Galvez menunjukkan kepada media belasungkawa kepada “syahid” Sheikh Al Miyahad Abu Al-Hassan, nama yang digunakan oleh Abdullah Maute dalam rangkaian IS, yang diambil daripada pintasan komunikasi tersebut.
Tentera Filipina dilaporkan sedang berusaha mendapatkan bukti kukuh termasuk DNA untuk mengesahkan kematian Abdullah, yang dipercayai otak di sebalik strategi gerakan gerombolan militan di selatan Filipina.
Galvez juga menjelaskan seorang lagi ketua kumpulan Maute, yang sebelum ini dikenali dengan nama Daulah Islamiyyah, Omar Maute — abang kepada Abdullah — sebenarnya masih hidup dan belum terbunuh seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Omar Maute masih hidup. Dia cedera dan masih berada (di zon pertempuran),” kata Galvez, seperti dipetik oleh Rappler.
Dengan perkembangan terbaru ini, Galvez yakin krisis di Marawi sudah0 sampai ke penghujung dan dijangka dapat ditangani sepenuhnya sebelum Oktober ini.
Dalam laporan media lain, Presiden Filipina Rodrigo Duterte yakin krisis Marawi akan tamat sebelum akhir Disember ekoran proses rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang sedang berjalan.
Krisis di Marawi bermula akhir Mei lalu apabila tentera Filipina menjalankan operasi untuk menangkap Isnilon Hapilon, ketua kumpulan militan yang ada kaitan dengan Abu Sayyaf di bandar itu.
Kumpulan militan Maute kemudiannya menyerang dan menguasai beberapa bangunan penting di Marawi termasuk universiti, hospital dan gereja.
Pertempuran yang masuk bulan keempat ini setakat ini membunuh lebih kurang 620 anggota militan dan 140 tentera kerajaan serta hampir 70 orang awam. – Agensi, 4 September, 2017.
Komen