Kementerian Pertahanan lapor penipuan RM500 juta urus niaga tukar tanah 


Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan itu mendapati 16 projek tukar tanah melibatkan melibatkan 2,923 ekar tanah milik kementerian itu dengan nilai sebanyak RM4.756 bilion dan melibatkan kos projek sebanyak RM4.886 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2019.

KEMENTERIAN Pertahanan akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendedahkan kerugian lebih RM500 juta daripada urus niaga tukar tanah (land swap) melibatkan tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penipuan didedahkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata jawatankuasa itu mendapati 16 projek tukar tanah melibatkan melibatkan 2,923 ekar tanah milik kementerian itu dengan nilai sebanyak RM4.756 bilion dan melibatkan kos projek sebanyak RM4.886 bilion. 

Dapatan itu telah dibentangkan kepada kementerian pada 28 Januari 2019 dan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri , Rabu lalu, kata Mohamad dalam satu kenyataan hari ini.

“Majoriti pelaksanaan projek land swap sebelum ini adalah tidak dirancang dengan teliti dan pemilihan syarikat pemaju tidak dilaksanakan due diligence yang komprehensif. 

“Terdapat juga campur tangan politik dalam pemilihan lokasi land swap tersebut yang bertujuan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu,” kata Mohamad.

Beliau berkata beberapa kontrak telah melangkaui tempoh kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini, malah ada projek yang dibina dengan kualiti yang tidak memuaskan.

“Sehubungan itu, saya akan mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi berkaitan yang lain untuk menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan lanjut seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.”

Kenyataan Mohamad bagaimanapun tidak menyatakan bilakah urus niaga itu dilakukan. – 19 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen