Pengundi Semenyih kurang maklumat manifesto calon bertanding


Asila Jalil Christopher Rabin

Sebahagian hadirin yang datang pada ceramah pemimpin Pakatan Harapan di Kampung Rinching, Semenyih malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Februari, 2019.

PARA pengundi di Semenyih mungkin teruja dengan perhatian daripada pilihan raya akan datang, tetapi ramai mengatakan mereka belum lagi yakin sepenuhnya dengan mana-mana parti yang bertanding.

Pengundi mengatakan terdapat kekurangan maklumat mengenai apa yang bakal dilakukan oleh para calon bagi kawasan itu.

Semasa ceramah lewat malam tadi oleh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali; dan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman ​​Zainali, para hadirin berkata semua calon tidak mempunyai rancangan kukuh untuk membangunkan Semenyih dan menyelesaikan masalahnya.

Muzaffar Muridan, 46, berkata calon harus berusaha keras untuk meyakinkan para pengundi kerana pilihan raya kecil (PRK) Semenyih dijangka menjadi pertarungan sengit antara Aiman ​​dan calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi.

“Kita perlu tahu tentang semua calon. Saya belum pasti tentang mereka. Mereka belum menunjukkan apa yang boleh dilakukan untuk komuniti,” kata Muzaffar kepada The Malaysian Insight semasa ceramah PH malam tadi.

Seorang pengundi lain, Shahdikid Mohd Nor, juga berkata calon perlu bersuara dan tidak mengharapkan hanya bergantung kepada reputasi parti mereka semata-mata.

“Kami mahu tahu apa yang dilakukan oleh calon kami, inisiatif mereka sendiri untuk meningkatkan keunggulannya,” kata jurutera berusia 46 tahun itu.

PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac selepas Adun Bersatu, Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia akibat serangan jantung bulan lepas.

Calon PRK kali ini ialah Zakaria, Aiman, Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia dan calon bebas Kuan Chee Heng. – 19 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen