NAJIB Razak bukan liabiliti Umno, seperti didakwa sebuah badan pemikir Pakatan Harapan (PH), dan parti itu tiada halangan untuk bekas presidennya terus berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri Semenyih di Selangor, kata pemimpin parti.
Penganalisis politik pula berpendapat isu dalam kalangan rakyat sekarang bukan lagi salah laku yang didakwa melibatkan Najib dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi janji PH yang belum tertunai terutamanya menurunkan kos sara hidup.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Najib setakat ini baru didakwa di mahkamah, belum lagi dibicarakan dan disabitkan dengan apa-apa kesalahan.
“Pada saya tidak ada apa-apa halangan untuk seseorang itu berkempen. Najib bukan liabiliti untuk Umno. Najib baharu didakwa sahaja, belum dibicara dan didapati bersalah. Kita kena tunggu mahkamah membuat keputusan.
“Sementara itu, dia adalah manusia biasa. Umno tiada halangan, tiada masalah dan mengalu-alukan… asalkan Umno menang. Siapa boleh menentukan Najib liabiliti atau tidak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Nazri merujuk kajian Institut Darul Ehsan, sebuah badan pemikir di bawah kerajaan negeri Selangor, yang mendapati Najib masih jadi beban untuk Umno pada PRK Semenyih walaupun populariti bekas perdana menteri itu meningkat sekarang.
IDE juga mendakwa Umno melihat bekas presidennya itu sebagai beban dan mahu menjarakkan diri ketika parti sedang sibuk disusun dan dijenamakan semula.
Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad melihat laporan kajian IDE itu bertujuan untuk menyerang Najib, bertujuan menghalang beliau membantu kempen Umno dan BN di Semenyih.
“Kalau IDE milik PH, mengapa mereka hendak keluar berita yang baik mengenai lawan mereka. Sebab itu mereka perlu hentikan Najib untuk datang,” katanya.
“Mereka merasakan Najib adalah ancaman. Bila Najib datang, tanpa mereka duga berpusu-pusu orang datang. Mungkin mereka khuatir dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai.
“Macam mana hendak sekat? Bagilah satu pandangan Najib adalah liabiliti kepada Umno,” katanya, yang merasakan ada tidak kena dengan laporan IDE itu.
“Kalau liabiliti kepada Umno, sepatutnya mereka lebih suka Najib datang Semenyih,” tambahnya.
Minggu lalu, Najib meluangkan masa lebih satu jam di pasar raya Tesco di Semenyih untuk membeli barangan dapur.

Kehadiran beliau mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarat yang mahu bertemu dan melihat bekas pemimpin nombor satu negara itu dengan lebih dekat.
IDE bagaimanapun merumuskan “hanya Mat Rempit yang datang. Mereka datang untuk seronok-seronok dan hiburan.”
Menurut Noraini, PH tidak perlu campur tangan urusan Umno kerana parti itu tahu cara yang terbaik untuk mendekati rakyat dan tidak perlukan cadangan lawannya itu.
“Umno tidak ada masalah. Apa yang dilakukan oleh Najib atas kapasiti peribadi dan bukannya parti. Najib masih ahli Parlimen Pekan, ahli Umno dan bekas presiden Umno,” ujarnya.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Ahmad Atory Hussain berkata rakyat sudah tidak mahu lagi mendengar kes-kes yang membabitkan Najib sebaliknya mereka mahu tahu apa yang PH lakukan untuk menangani kos sara hidup yang sehingga ini masih jadi beban.
“Rakyat saya lihat sudah mula meninggalkan isu 1MDB dan menumpu kepada isu yang lebih penting, isu periuk nasi mereka.
“Harga barang tidak turun, kos sara hidup tinggi, isu perumahan di Selangor, ini semua isu yang begitu meruncing,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Jelasnya, sentimen ini bukan sahaja dirasai pengundi Cameron Highlands yang telah menterjemahkan sokongan kepada BN dalam PRK baru-baru ini, tetapi muka mengancam sokongan Melayu kepada PH.
“Dr Mahathir saya lihat agak cemas melihat kebangkitan, perpindahan ataupun perubahan minda dan sikap masyarakat Melayu khususnya.
“Perubahan sikap ini bukan sahaja di Cameron Highlands, di seluruh Malaysia sebenarnya,” ujarnya.
DUN Semenyih akan mengundi pada 2 Mac ini, menentukan pilihan antara empat calon bertanding.
BN diwakili pemimpin Umno akar umbi, Zakaria Hanafi melawan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang juga menantu bekas wakil rakyat Bakhtiar Mohd. Noor, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.
Dua lagi calon ialah dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng yang bertanding sebagai calon bebas. – 19 Februari, 2019.
Komen