Peguam negara Swiss sahkan Justo disiasat


Julia Yeow

PEJABAT Peguam Negara Switzerland (OAG) mengesahkan sudah memulakan prosiding jenayah terhadap Xavier Andre Justo yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Kanun Jenayah Switzerland kerana mendedahkan rahsia perniagaan kepada pihak persendirian.

OAG mengarahkan prosiding jenayah dibuka pada 19 November lepas selepas menerima aduan terhadap pemberi maklumat skandal  1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu daripada suspek yang tidak bernama.

“Pada 11 Disember, 2017, Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) menerima aduan jenayah daripada seorang daripada orang yang disyaki dalam prosiding jenayah ke atas kes 1MDB terhadap individu yang anda sebutkan,” kata OAG dalam maklum balas menerusi e-mel kepada The Malaysian insight, merujuk kepada “individu yang disebut”.

“Individu itu didakwa mungkin telah melanggar Perkara 273 Kanun Jenayah Switzerland SCC (Pengintipan Industri),” menurut e-mel itu.

“Bagi kebenaran untuk mendakwa yang dikeluarkan oleh Ketua Jabatan Kehakiman dan polis pada 17 September 2018, setelah pemeriksaan kes dan kesesuaian dengan Fasal 309 dari Kanun Prosedur Jenayah Swiss, OAG mengarahkan pada 19 November 2018, pembukaan prosiding jenayah terhadap orang yang kamu nyatakan, yang disyaki telah melakukan suatu kesalahan di bawah Perkara 273 SCC.

“Seperti biasa, anggapan tidak bersalah terpakai kepada orang yang disyaki dalam kes ini, dan OAG tidak mempunyai ulasan lanjut terhadap prosiding jenayah yang sedang berjalan sekarang.”

Menurut laman web undang-undang kewangan, Kajian Undang-undang Kewangan Antarabangsa, tujuan artikel 273 SCC “adalah untuk melindungi kedaulatan wilayah Swiss dan kemandirian ekonomi dan keamanannya dengan melarang pendedahan rahsia perdagangan atau perniagaan kepada pihak berkuasa asing dan individu persendirian”.

Akta itu membolehkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda bagi mereka yang didapati bersalah, menurut laman web tersebut.

Justo, yang baru sahaja tinggal di Malaysia, telah bekerja untuk PetroSaudi International (PSI) Arab Saudi dan telah disabitkan di Thailand kerana cuba memeras bekas majikannya dengan dokumen sulit yang dicuri daripada syarikat itu.
 
Dokumen-dokumen itu mendedahkan bahawa berbilion ringgit telah disalurkan dari 1MDB menerusi perjanjian dengan PetroSaudi.

Beliau juga telah memberikan data tersebut kepada The Edge Media Group dan dijanjikan bayaran, tetapi tidak pernah dibayar.

Bulan lalu, pengerusi Kumpulan Media The Edge memberi Justo AS$2juta (RM8.2 juta) untuk peranannya dalam mendedahkan skandal 1MDB. – 18 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen