MEDIA Korea Selatan hari ini menggesa Seoul untuk mempertimbangkan langkah membangunkan senjata nuklearnya sendiri ketika kebimbangan pakatan negara itu dengan Washington sejak berdekad lamanya mungkin berakhir dan ketegangan semakin meningkat susulan ujian nuclear keenam Korea Utara.
Pyongyang semalam mencetuskan kebimbangan global selepas melakukan ujian senjata terdahsyat setakat ini, selepas mendakwa mereka berjaya menguji bom hidrogen yang dianggap berperanan sebagai peluru berpandu jarak jauh.
Kejayaan itu, sekiranya benar, dianggap penting dalam program senjata nuklear negara itu, kata penganalisis.
Amerika Syarikat menempatkan 28,500 tentera di Korea Selatan bagi mempertahankan negara itu daripada ancaman nuklear Korea Utara. Di bawah perjanjian tenaga atom 1974 yang ditandatangani kedua negara, Korea Selatan tidak dibenarkan membangunkan program senjata nuklearnya sendiri, sebaliknya akan ditawarkan “perlindungan nuklear” oleh AS.
Tetapi ancaman yang semakin meningkat disebabkan tindakan negara jiran itu menyebabkan sebahagian penduduk Korea Selatan mendesak pembangunan senjata nuklearnya sendiri diwujudkan.
“Ketika senjata nuklear terbang di atas kepala sendiri, kita tidak boleh sentiasa berharap kepada perlindungan nuklear AS dan menangguhkan pencegahan (untuk melindungi keselamatan Korea Selatan),” kata akhbar Donga Ilbo dalam catatan pengarangnya hari ini.
AS menempatkan beberapa senjata nuklear di Korea Selatan selepas tamatnya perang Korea 1950-53, tetapi mengambilnya pada 1991 apabila negara di Semenanjung Korea itu bersetuju untuk menjadikannya bebas nuklear.
Perjanjian itu tidak lagi dipatuhi dan sidang pengarang akhbar itu berkata: “Tiada lagi sebab untuk kita terus bergantung kepada perjanjian yang menjadikan “Korea Selatan bebas nuklear” tetapi tidak menjadikan Semenanjung Korea bebas nuklear sepenuhnya”.
Kerajaan Korea Selatan tidak seharusnya “teragak-agak” untuk menempatkan semula senjata nuklear taktikal AS serta membina senjata nuklearnya sendiri.
Tindakan sebegitu pastinya mencetuskan ketegangan di Pyongyang yang sentiasa mendakwa berdepan risiko serangan AS. – AFP, 4 September, 2017.
Komen