POLIS sudah mengenal pasti suspek lelaki yang menyamun seorang wanita dalam sebuah lif di Stesen Aliran Transit Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras dalam kejadian Khamis lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim hari ini berkata polis sudah mengenal pasti identiti suspek termasuk alamat rumahnya.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh mendedahkan butiran lanjut suspek warga tempatan itu kerana ia akan menjejaskan siasatan kami dalam kes ini.
“Hasil siasatan kami mendapati suspek telah menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam pada kira-kira 6.30 pagi itu berhampiran stesen MRT berkenaan sebelum menyamun mangsa di dalam lif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
The Malaysian Insight difahamkan suspek berusia 26 tahun itu memiliki rekod jenayah membabitkan kes samun malah pernah ditahan lebih 10 kali atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.
Sumber berkata, suspek juga dipercayai seorang penagih dadah dan kali terakhir ditahan kerana positif dadah jenis syabu pada tahun lalu.
Khamis lepas, seorang wanita berusia 48 tahun ditumbuk serta ditendang beberapa kali dalam kejadian samun dalam lif di stesen MRT Taman Mutiara, Cheras kira-kira 6.45 pagi.
Suspek mengekori mangsa yang menaiki lif seorang diri sebelum bertindak menyerang serta melarikan barang milik mangsa.
Mangsa mengalami kecederaan dengan bengkak di dahi serta beberapa bahagian badan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan suspek memukul mangsa tanpa belas kasihan dalam lif itu turut tular di laman sosial. – 18 Februari, 2019
Komen