Saksi nampak kesan tapak kasut pada rusuk kanan Adib


Timothy Achariam

Saksi berkenaan, R. Narresh (depan) berkata beliau bersama Adib di dalam sebuah trak pikap yang membawanya ke hospital ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Februari, 2019.

SEORANG saksi hari ini memberitahu Mahkamah Koroner beliau melihat kesan lebam dan kesan tapak kasut di rusuk kanan Muhammad Adib ketika menemani anggota bomba itu dalam perjalanan ke hospital, November tahun lepas.

Saksi berkenaan, R. Narresh berkata beliau bersama Adib di dalam sebuah trak pikap yang membawanya ke hospital ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield.

“Semasa saya temankan dia ke hospital, saya nampak garisan tebal pada rusuknya. Kawasan bergaris itu juga kelihatan kemerah-merahan, yang saya percaya menandakan berlaku pendarahan dalaman,” katanya.

“Selepas dilihat lebih teliti, ia adalah kesan tapak kasut. Garisan itu sangat menyerupai kesan tapak kasut.

“Dia (Adib) berkulit cerah dan kesan tapak kasut itu sangat jelas.”

Apabila disoal peguam sama ada itu adalah kesan lebam pada kulit atau debu yang meninggalkan kesan tapak kasut, Narresh berkata ia adalah debu dan pasir.

“Semasa saya periksa bahagian kanan rusuknya, saya nampak debu kesan tapak kasut, tanpa berfikir panjang saya terus kesat debu untuk periksa kawasan yang semakin merah.”

Ahli krew filem berusia 30 tahun itu juga memberitahu beliau mendengar ada orang meminta supaya Adib tidak diapa-apakan.

“Ada satu kumpulan yang meluru ke trak (bomba) dan berteriak ‘Jangan pukul, itu bomba, halau mereka, jangan bagi mereka turun’.”

Narresh berkata ketika beliau mendapatkan Adib, anggota bomba itu sedang membongkok di depan sebuah kereta.

“Dia sedang memegang dadanya, ada beberapa orang sedang kerumuni dia,” beliau memberitahu mahkamah.

“Saya menyelit masuk dan tengok tiada siapa pun bantu Adib, mereka semua sedang berdiri sambil mengambil gambar dan video menggunakan telefon,” kata Narresh lagi. Beliau turut memberitahu mahkamah mempunyai latihan asas teknik pernafasan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR).

Katanya, Adib masih memakai uniform Bomba ketika itu.

“Saya tahu saya perlu dapatkan bantuan untuk dia. Saya cepat-cepat beritahu orang ramai supaya berundur kerana keadaan masa itu sesak,” katanya, sambil menambah beliau meninggalkan Adib di situ untuk mendapatkan bantuan.

Narresh berkata beliau kemudian mendengar ada orang bercakap dalma Bahasa Tamil yang bermaksud: “Bomba pun mereka nak pukul.”  – 18 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen