BAKAL jemaah ibadah haji sedia menerima kenaikan kos bagi jemaah haji rayuan sekiranya dikecualikan subsidi, namun pengecualian itu harus dikenakan kepada mereka yang pernah mengerjakan haji.
Mereka berpendapat, subsidi harus dikekalkan bagi jemaah haji rayuan yang menjadi mahram kepada mana-mana jemaah haji dan pertama kali mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Rizal Mohamad, 47, berkata kepada The Malaysian Insight, kaedah itu lebih adil memandangkan setiap umat Islam di negara ini layak menerima subsidi haji sekali saja.
“Kalau semua subsidi tidak adil, subsidi patut diberikan sekali saja, kalau kali ini dapat peluang (menjadi mahram), akan datang bila sampai giliran haji dapat lagi subsidi, tidak adil untuk orang lain.
“Ini bukan soal politik, ini ‘common sense’ soal kewangan, seorang dapat subsidi sekali cukuplah.
“Kalau dapat pergi haji tiga hingga empat kali sebagai mahram dan terima subsidi, itu tidak adil,” katanya yang bekerja sebagai juruterbang, ketika ditemui selepas menyertai kursus asas haji di Shah Alam.
Asiah Yahya, pesara kerajaan berumur 66 tahun turut berkongsi pendapat sama, dan berkata jemaah haji rayuan kali pertama harus dikekalkan subsidi mereka.
“Kalau pertama kali pergi patut dapat subsidi, yang nak teman itu kalau kali pertama pun patut dapat subsidi, kalau kali kedua dan seterusnya tidak perlu subsidilah,” katanya yang menetap di Shah Alam.

Isu kenaikan kos ibadah haji tercetus selepas media melaporkan jemaah haji rayuan yang belum tiba giliran mereka tidak lagi menerima subsidi berjumlah RM12,920 daripada kerajaan.
Bagi jemaah haji Muassasah yang telah tiba giliran dan menunaikan haji kali pertama, kos mereka kekal pada kadar RM9,980.
Kos menunaikan haji tahun ini ialah RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri hal ehwal agama Mujahid Yusof Rawa bagaimanapun menafikan perkara itu.
Mujahid berkata Putrajaya tidak pernah mengeluarkan kenyataan menghapuskan subsidi kos mengerjakan haji bagi bakal jemaah yang pergi atas tiket rayuan atau sebagai pengiring mahram.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata perkara itu atas budi bicara Lembaga Tabung Haji (TH) yang akan membuat pertimbangan berdasarkan kemampuan individu terbabit.
Abdul Aziz Ahmad, 64, dari Shah Alam bagaimanapun berpendapat, isu itu dibangkitkan untuk mendapatkan respons masyarakat.
“Kadang-kadang itu cara nak dapatkan pandangan rakyat, kalau nak ikut cara lama mungkin boleh ikut cara lama, tapi mungkin cara spontan nak dapatkan reaksi rakyat.
“Lagipun dia (TH) tidak boleh buat sesuka hati, sebab kita penyimpan. Kalau rakyat tidak setuju cara itu, kita ada hak sebagai penyimpan, mereka cuba nak uji, kalau rakyat tidak setuju mungkin akan tarik balik, senang kata mereka nak uji pasaran,” katanya.

Berbeza seperti Hairi Turji, 36, beliau bimbang dengan pemansuhan subsidi haji kerana sedang menunggu kelulusan sebagai jemaah rayuan mengiringi mahram kerana isterinya terpilih menunaikan haji pada musim kali ini.
Bapa kepada tiga anak itu juga tidak pasti akan nasibnya memandangkan masih tiada jawapan jelas berhubung perkara itu.
“Berkenaan isu jemaah mengiringi mahram perlu bayar penuh, bila saya tanya TH, ada mereka yang terima surat kata kena bayar, ada yang belum tahu lagi.
“Pihak TH maklumkan kepada saya mereka belum tahu lagi tapi ada yang terima surat kata mereka kena bayar penuh. Saya pula masih dalam rayuan untuk jadi jemaah mengiringi mahram, TH pula kata belum sahih,” katanya.
Kakitangan syarikat penerbangan itu berkata dengan kos yang begitu besar perlu ditanggung jemaah rayuan mengiringi mahram, agak sukar baginya untuk mengumpul dana yang besar dalam tempoh singkat, sekiranya perkara itu berlaku.
“Sepatutnya kekalkan subsidi, kita ini mahram, daripada RM10,000 kepada RM22,000, agak besar jurangnya. Setakat naik RM1,000 kita boleh lagi pertimbangkan, kalau betul naik memang melampau.
“Memang agak berat, tapi kita akan cuba juga sampai dapat kumpul RM22,000, cumanya dalam tempoh pendek nak kumpul agak susahlah,” katanya.
Katanya, kajian dan maklum balas rakyat harus diambil kira sebelum pihak berkenaan mahu melaksanakannya.
“Kalau nak laksanakan jangan terus mendadak, agak tak masuk akal, kalau nak buat sistematik sikitlah. Kaji sikit.
“Kita tujuan nak beribadah, nak tunai Rukun Islam, tapi bila memberat-beratkan orang nak beribadah fikir-fikirlah. Kalau ikut giliran saya pada 2030, masa itu umur sudah 50 lebih. Ini rezeki saya isteri dapat peluang,” katanya.
Pengguna media sosial turut berkongsi tangkap layar jawapan pengendali laman media sosial TH memaklumkan pemotongan subsidi tersebut.
“Untuk makluman subsidi haji hanya diberikan kepada bakal haji yang terpilih bagi tahun semasa di mana tahun peruntukan adalah tahun ini 1440H/2019M dan yang menunaikan haji buat kali pertama secara Muassasah.
“Bagi pengiring atau yang merayu dan berjaya, ini bermakna mereka pergi menunaikan haji lebih awal dari tahun peruntukan dan tidak layak mendapat subsidi haji. Terima kasih-THCC,” kata pengendali Facebook Official: Lembaga Tabung Haji.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan pengguna media sosial dengan nama Sufikau, yang bertanyakan berkenaan subsidi pengiring mahram pertama kali mengerjakan haji.
Ketua Pemuda Umno yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan berkenaan tidak wajar dilaksanakan.
“Saya dimaklumkan mengenai dasar baru subsidi haji yang diperkenalkan kepada mereka yang merayu walaupun kali pertama menunaikan Haji mengikut Pakej Muassasah tetap dikenakan bayaran penuh tanpa subsidi berjumlah RM22,900.
“Jika mengikut dasar lama TH, keutamaan pertimbangan rayuan akan diberikan kepada mereka yang perlukan mahram, mengiringi ibu atau bapa yang uzur dan mereka yang mencecah umur melebihi 60-70 tahun,” kata Asyraf Wajdi di laman Facebook miliknya, pada Jumaat lalu. – 18 Februari, 2019.
Komen