PKR menggesa Dewan Rakyat membenarkan ahli Parlimen membahaskan isu keganasan melanda etnik Rohingya di Myanmar dalam satu sidang tergempar.
Ketua Pemudanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia bagi membincangkan dasar luar negara yang perlu diambil Malaysia.
“Sememangnya ini masa paling sesuai untuk memanggil sidang Parlimen tergempar untuk membincangkan dasar luar negara yang perlu diambil oleh Malaysia untuk mengakhiri malapetaka ini.
“Saya juga berharap agar pihak berkuasa lebih berhemah ketika berurusan dengan penunjuk perasaan Rohingya yang ditahan tempoh hari berdekatan Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, di dalam lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, krisis kemanusiaan yang berlaku ke atas Rohingya bukan sahaja menganggu kestabilan Myanmar dan negara jiran, tetapi juga kepada rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.
“Oleh itu seluruh rakyat Malaysia haruslah bersatu untuk menggesa kerajaan, dan masyarakat antarabangsa.
“Ini termasuklah institusi seperti PBB, OIC dan Asean — untuk mengambil segala tindakan diplomatik yang boleh mengakhiri keganasan di Rakhine,” kata Adun Seri Setia itu.
Sementara itu Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Raja Bahrin Shah turut melahirkan kekesalan apabila usulnya mengenai Rohingya yang hendak dibawanya ditolak pada sidang tahun lepas.
“Saya telah membawa satu usul khas di Parlimen tahun lepas untuk membahas pembunuhan dan kekejaman kepada kaum Rohingya di Myanmar.
“Malangnya usul tersebut ditolak oleh Kerajaan dengan hanya ahli Parlimen Pakatan Harapan menyokong usul tersebut,” katanya dalam satu kenyataan 31 Ogos lalu. – 4 September, 2017.
Komen