Sambut perayaan kaum lain tak bermakna tukar agama, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika hadir pada sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan yang diadakan di Seremban, malam ini.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, amalan sambutan rumah terbuka bagi menyambut perayaan besar setiap kaum di negara ini bukan bermakna rakyat bertukar agama, sebaliknya ia adalah amalan baik yang diizinkan setiap agama.

Beliau berkata, amalan itu dapat dilihat di negara ini kerana rakyatnya mengamalkan sikap toleransi yang tinggi sesama mereka walaupun berbeza kaum, budaya, dan agama.

“Kepada masing-masing agama mereka, kepada kita agama kita. Sebab itu kita di Malaysia dapat hidup rukun damai dan oleh itu negara kita dapat
dibangunkan,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Seremban, malam ini.

“Jumlah yang begini ramai menunjukkan perasaan persahabatan di kalangan rakyat Malaysia bukan terhad kepada pemimpin tapi semua rakyat mempunyai sifat berbaik antara kaum sehingga dapat rayakan perayaan kaum-kaum dan agama-agama kita bersama.

“Ini tidak bermakna kita tukar agama, sebaliknya ia diizinkan agama yang menyuruh kerana dalam dunia ini ada bermacam kaum dan agama,” katanya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata, berbeza di luar negara yang mana ketegangan sering berlaku di dalam sesebuah negara walaupun mempunyai fahaman agama yang sama.

“Kita sedang lihat di banyak negara lain walaupun mereka agama sama, hanya kelainan sedikit dari segi tafsiran, mereka tidak hidup rukun damai, maka berlakulah peperangan, ramai terbunuh dan cedera. Bahkan negara mereka hancur kerana bedilan roket dan meriam.

“Ini berlaku apabila kita tak punya sifat toleransi sesama kita. Kita perlu ada sifat toleran terhadap mereka yang berlainan daripada kita, samada bangsa atau agama atau budaya,” kata Dr Mahathir.

Tambahnya, rakyat Malaysia juga beruntung mereka mampu bersama dalam perbezaan dan meraikan setiap perbezaan itu.

“Sebab itu rakyat Malaysia mesti bersyukur bukan kerana ada kelainan bangsa dan agama tetapi sebaliknya bersyukur kerana agama dan kaum kaum berlainan dapat hidup rukun damai dan dapat membangunkan negara, masing-masing dengan cara masing-masing.

“Kita harap dengan pelbagai kaum dan sumbangan kepada budaya, bahasa, pencapaian ekonomi kita, maka negara kita akan terus maju,” katanya.

Melalui keamanan yang ada, rakyat Malaysia katanya hanya perlu berusaha gigih untuk membangunkan negara.

“Hanya yang diperlukan ialah berusaha kerana dalam keadaan negara yang aman kita boleh sumbang kepada pembangunan dengan pelbagai cara.

“Masing-masing dengan pelbagai cara. Ini akan membangunkan megara dengan lebih pesat berbanding negara lain,” katanya.

Turut hadir dalam majlis malam tadi adalah Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fok, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun. – 17 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen