Bekas ahli Parlimen buat laporan polis didakwa tipu 47 rakyat Malaysia


Desmond Davidson

Sng Chee Hua menunjukkan laporan polis di Balai Polis Hulu Lanang hari ini bagi menafikan dakwaan kononnya beliau dalam sindiket penipuan rakyat Malaysia ke Kemboja. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Februari, 2019

BEKAS ahli Parlimen membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau terlibat dengan penipuan terhadap 47 rakyat Malaysia yang dijanjikan pekerjaan di Kemboja, yang akhirnya menyebabkan mereka ditangkap.

Sng Chee Hua, yang juga bapa kepada Ahli Parlimen Julau, Larry Sng berkata, ia merupakan cubaan untuk mencemarkan reputasinya.

Bekas pemimpin berusia 71 tahun itu yang membuat laporan polis di balai polis Ulu Lanang di Sibu, menafikan mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan yang menjanjikan peluang pekerjaan di Kemboja.

Antara 40 hingga 47 orang dari Sarawak, tiga dari Sabah dan empat dari semenanjung, ditahan oleh polis Kemboja di bandar Poipet pada 11 Disember lalu.

Mereka ditahan berhubung dakwaan berkaitan perjudian dalam talian, namun menurut mangsa, mereka ditipu oleh agensi pengambila pekerja dalam talian yang menjanjikan peluang pekerjaan di hotel dengan bayaran gaji bulanan AS$1,200 (RM4,800).

Larry merupakan antara pemimpin Malaysia yang berunding dengan pihak Kemboja bagi memastikan mereka dibebaskan. Penglibatannya mencetuskan dakwaan bahawa bapanya memintanya berbuat demikian bagi menutup salah lakunya.

Kesemua rakyat Malaysia itu dibebaskan pada Jumaat dan pulang ke tanah air hari ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Fatimah Abdullah yang mengiringi mereka dalam penerbangan dari Siem Reap ke Kuching, menyifatkan “banglo” di mana rakyat Malaysia itu disimpan sebagai penjara.

Menurutnya, banglo berkenaan dikelilingi oleh kawat berduri, dengan jeriji besi di tingkapnya.

Katanya setiap unit hanya memiliki satu pintu masuk, dengan pintu yang terkunci dari luar.

Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang turut mengiringi delegasi Malaysia ke Kemboja berkata, penjara Banteay Meanchey yang menjadi tempat tahanan warga Malaysia itu selama dua bulan “lebih baik” berbanding banglo berkenaan.

“Di penjara sekurang-kurangnya mereka masih dapat lihat langit. Tapi tidak di banglo itu.” – 17 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen