PAS Selangor tidak dapat arahan untuk DUN Semenyih, kata pengarah pilihan raya


Asila Jalil Diyana Ibrahim

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir bercakap kepada media di Tapak Pasar Malam Taman Jenaris, Kajang, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Februari, 2019

PAS Selangor tidak mendapat arahan daripada kepimpinan tertinggi parti untuk mengurangkan sokongan dan kerjasama dengan Umno dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, kata pemimpin parti negeri.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir berkata setakat ini kerjasama PAS dan Umno dalam PRK Semenyih masih diteruskan seperti biasa.

“Tidak ada arahan daripada kepimpinan tertinggi. Komitmen juga tidak berubah.

“Saya lihat di peringkat bawahan kerjasama PAS dengan Umno seperti biasa,” katanya kepada media di Tapak Pasar Malam Taman Jenaris, Kajang, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan PAS pusat hari ini bahawa parti Islam itu akan memberikan “komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza” berbanding pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan itu dikeluarkan hari ini sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa PAS tidak akan menyokong Umno di Semenyih.

Kelmarin, presiden PAS mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di Putrajaya disertai Takiyuddin dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, Shahrir menjelaskan maksud kenyataan Takiyuddin “komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza”.

“Bagi saya maksudnya sokongan yang tidak sama sebab di PRK Cameron Highland calon bukan Melayu (DAP) berlawan dengan calon Melayu.

“Tapi di PRK Semenyih  ini lawan Melayu dengan Melayu jadi sudah tentu kita kena buat satu langkah penyesuaian yang lebih berkesan,” jelasnya.

Beliau juga memberi jaminan PAS akan memastikan undi penyokong PAS sebanyak 6,996 undi semasa pilihan raya umum sembilan bulan lalu kali ini akan pergi kepada calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi, malah “lebih 10 atau 20 peratus.”

Pilihan raya kecil DUN Semenyih akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Zakaria Hanafi, calon PH Muhammad Aiman ​​Zainali, calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas Kuan Chee Heng. 

SPR menetapkan 26 Februari sebagai hari pengundian awal dan 2 Mac depan sebagai hari mengundi. – 17 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen