SUASANA pilu mengiringi ketibaan 40 warga Malaysia yang tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuching petang ini selepas dibebaskan dari penjara Kemboja.
Bagi Maria Goretti, dapat melihat adik lelakinya yang berusia 24 tahun, Mark Rogers William Nun, yang diusung oleh seroang lagi rakannya dari pesawat ke ruang menunggu tidak dapat digambarkan perasaannya.
Maria, 33, dari pekan Sibu itu hanya mampu melepaskan emosinya apabila beliau memeluk dan mencium adik lelakinya itu dengan linangan air mata kegembiraan.
Mark mengalami kecederaan di lutut kiri yang menyebabkan beliau sukar berjalan. Selepas melalui proses imigresen, beloiau dikejarkan ke hospital umum Sarawak.
“Dia tidak beritahu kami mahu ke Kemboja untuk bekerja,” kata Maria sebelum ketibaan adiknya.
“Saya hanya tahu selepas seorang rakan datang ke rumah kami di Sibujaya pada 2 Februari untuk mengetahui sama ada Mark tersenarai sebagai rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja.
“Kami (Maria dan kakaknya berusia 30 tahun) menyangkakan dia bekerja sebagai juru ukur di lebuh raya Pan Borneo.”
Maria berkata, kali terakhir dia berhubung dengan adiknya itu adalah pada akhir November lalu. Mereka merupakan anak yatim.

“Saya lega dia sudah pulang,” kata Maria kepada pemberita sambil menolak adiknya yang berkerusi roda ke lif lapangan terbang untuk ke Hospital Umum Sarawak.
Bagi tahanan paling muda yang turut dibebaskan, Jeffrydean Jude, 19, kepulangannya agak “menyedihkan” kerana tiada seorang pun ahli keluarganya dari bandar Keningau menantinya di lapangan terbang.
“Saya cemburu melihat sambutan yang diterima orang Sarawak ini. Saya harap bapa saya akan jemput saya di Kota Kinabalu,” kata Jude.
Beliau dan dua lagi warga Sabah akan menaiki penerbangan dari Kuching ke Kota Kinabalu pada jam 9.30 malam ini.
Jeffrydean tidak tahu bagaimana “sambutan” yang akan diterimanya.
“Saya tidak beritahu bapa saya ke Kemboja untuk bekerja. Jika tidak pasti dia tidak akan benarkan saya pergi.
“Jadi saya beritahunya, saya bekerja di semenanjung Malaysia.”
Jeffrydean dipenjarakan di penjara wilayah Banteay Meanchey bersama rakannya, Phillipe Ho Chee Chen, 25 yang meyakinkannya untuk ke Kemboja bersamanya.
Ibu kepada salah seorang warga Sarawak berkata beliau lega dugaan itu sudah berakhir.
Evelyn Christy, 52, berkata, sejak dimaklumkan anak perempuannya Eviana Nazreen Sadin, 20, ditahan dan dipenjarakan di penjara Kemboja, beliau tidak lalu makan dan tidak tidur dengan lena.
“Saya juga tidak sihat kerana bimbangkan anak,” kata suri rumah itu.

“Hari ini, saya sangat gembira dan tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan saya.”
Sementara itu, Eviana tidak banyak bercakap, hanya mengucapkan “saya sangat gembira”.
Beliau hanya mahu meluangkan masa bersama ibunya di rumahnya, di flat kos rendah di Batu 6, Jalan Matang di Kuching.
Pesawat JC International Airlines, yang membuat openerbangan terus dari Siem Reap, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 2.15 petang.
Turut sama dalam penerbangan itu Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Fatimah Abdullah dan Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang membantu pembebasan mereka.
Warga Malaysia itu ditahan pada 11 Disember di bandar sempadan Poipet kerana didakwa menjalankan perjudian dalam talian di bandar itu.
Mereka diberikan “pembebasan sementara” oleh mahkamah bagi membolehkan mereka terbang keluar dari negara itu. Bagaimanapun pendakwaan masih kekal dalam rekod.
Kerajaan Sarawak membayar semua perbelanjaan untuk membawa pulang warga Malaysia itu termasuk penginapan mereka di hoteel sebelum berangkat pulang, serta caj keluar AS$30 serta sewaan pesawat. – 17 Februari, 2019
Komen