PEMIMPIN dunia hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan Korea Utara yang menjalankan ujian bom hidrogen dan tidak mempedulikan larangan antarabangsa.
Kecaman yang diketuai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump itu turut menyatakan tindakan itu “sangat merbahaya kepada Amerika Syarikat”.
Sekutu kuat Pyongyang, China turut menyuarakan kecaman tegasnya manakala Presiden Korea Selatan Moon Jae-In menggesa “hukuman paling keras terhadap Korea Utara termasuk sekatan terbaharu PBB untuk “mengasingkan terus” negara itu.
Sementara itu kementerian luar Rusia turut meluahkan “kecaman keras” teerhadap negara itu, namun menambah “ianya sangat mustahak untuk kekal bertenang dan mengelakkkan daripada tindakan yang membawa kepada ketegangan.”
Kementerian itu berkata ia amat menyesali kepimpinan Korea Utara yang “mencipta ancaman serius” kepada rantau itu dan memberi amaran “tindakan sebegitu yang berterusan akan memberikan kesan serius” kepada Pyongyang.
Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe turut menyelar tindakan Korea Utara dan berkata ujian yang dijalankan itu “tidak boleh diterima” dan menyatakan program nuklear dan peluru berpandu negara itu kini memberi ancaman terhadap negaranya.
“Sama ada kita boleh hentikan tindakan Korea Utara yang mengancam keamanan dunia bergantung kepada kerjasama dan solidariti masyarakat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis Emmanuel Macron menggesa sekatan Kesatuan Eropah dan menyatakan Pyongyang sudah “mencapai dimensi baru kepada provokasi”.
Ketua polisi luar Kesatuan Eropah Federica Mogherini berkatan dia menantikan “tindakan Majlis Keselamatan PBB berhubung perkara itu dan mengambil langkah yang efektif”.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Negara Britain Boris Johnson menyifatkan ujian itu sebagai “terburu-buru” namun berkata “tiada satu pun pilihan ketenteraan yang baik”.
“Mesej kami kepada China, kami rasa banyak skop untuk kamu China meletakkan tekanan ekonomi ke atas Korea Utara,” katanya kepada Sky News.
Korea Utara dipercayai menjalankan ujian bom hidrogen pada Ahad lalu di satu lokasi di Punggye-ri.
Ujian itu menyebabkan beberapa siri gegaran kuat yang dapat dirasai sehingga ke timur laut China dan menggegarkan beberapa bandar di negara itu selama lapan saat.
Pyongyang turut menyifatkan ujian itu sebagai satu “kejayaan yang sempurna”.– AFP, 3 September, 2017.
Komen