Syed Saddiq sandiwara dakwa Papa Gomo cekak leher, kata Asyraf Wajdi


SM Amin

Syed Saddiq Abdul Rahman membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya petang semalam selepas mendakwa ada cubaan mencederakan dirinya oleh sekumpulan penyokong pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2019.

KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hanya bersandiwara apabila mendakwa kononnya leher beliau dicekak oleh exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papa Gomo selepas penamaan calon pilihan raya kecil Semenyih semalam, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata beliau sudah menghubungi Papa Gomo bagi mendapatkan penjelasan dakwaan tersebut dan berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

“Saya telefon Papa Gomo tanya betulkah dia pukul Syed Saddiq. Dia cakap tidak pukul, hanya peluk Syed Saddiq sebab orang dah kejar dia.

“Papa Gomo cakap dia beritahu Syed Saddiq bodoh kenapa lalu sini (kawasan BN), dia hendak lindung Syed Saddiq. Inilah sandiwara-sandiwara yang akan berlaku dalam tempoh 14 hari ini,” katanya ketika berkempen di Taman Kesuma, malam tadi.

Dalam kejadian selepas penamaan calon PRK Semenyih semalam, Syed Saddiq mendakwa diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik beliau keluar dari pusat penamaan calon di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Kajang.

Susulan itu, Ahli Parlimen Muar itu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya petang semalam mendakwa ada cubaan mencederakan dirinya oleh sekumpulan penyokong pembangkang.

Video insiden provokasi selama 22 saat itu, juga viral di media sosial yang menunjukkan Syed Saddiq yang dikawal ketat polis dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

Bagaimanapun terdapat video menunjukkan Syed Saddiq tidaklah dicekak leher seperti didakwa sebaliknya jelas dilihat Papa Gomo hanya memeluk bahu beliau sahaja.

“Pakar sandiwara yang paling utama Syed Saddiq… Hari ini kita tertanya-tanya apa sebab dia lalu kawasan Barisan Nasional,” soal Asyraf yang merasakan tindakan Syed Saddiq memasuki kawasan penyokong Barisan Nasional punca insiden itu berlaku.

Asyraf berkata beliau sudah menghubungi Papa Gomo bagi mendapatkan penjelasan dakwaan tersebut dan berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Februari, 2019.

Asyraf juga menyifatkan sandiwara Syed Saddiq sama seperti yang dilakukan oleh Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dalam memanipulasi pemikiran rakyat.

Beliau merujuk kenyataan Dr. Mahathir yang mendakwa PAS tidak akan menyokong Umno dalam PRK Semenyih, berdasarkan pertemuannya dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dua hari lalu.

“Betullah semalam dia jumpa Abdul Hadi, hari ini keluar kenyataan Abdul Hadi beritahu dia, PAS tidak akan menyokong BN.

“Kenapa dia boleh kata begitu sedangkan pencadang kepada calon BN adalah PAS. 

“Kalau PAS ini tidak mahu menyokong kita, takkan mungkin pencadang adalah PAS dan mereka turun beramai-ramai semasa penamaan calon pagi tadi (semalam) bersama-sama dengan kita,” katanya.

Menurut Asyraf, beliau sudah masak dengan sandiwara Dr. Mahathir sejak zaman reformasi lagi, semasa beliau memimpin Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Jelasnya, Dr. Mahathir sejak dahulu sering mengatakan kepada pimpinan Umno bahawa suatu penipuan yang diulang-ulang beberapa kali akhirnya akan menangkap imaginasi rakyat dan rakyat akan percaya.

“Dr. Mahathir orang yang terkenal dengan orang yang cukup tahu psikologi manusia dan rakyat.

“Sebab itu kalau kita tengok sebelum PRU14, cara dia hendak jatuhkan BN, dia cukup fokus. Ditanamkan dalam pemikiran rakyat BN, Najib penyamun dan rakyat pun terpengaruh. Ditambah pula janji-janji bulan dan bintang,” ujarnya. – 17 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen