KESEMUA 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan dari penjara Kemboja semalam akan dibawa pulang esok.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Fatimah Abdullah berkata mereka akan dibawa pulang terus ke Kuching menaiki pesawat yang disewa dari J C International Airlines, sebuah syarikat penerbangan Kemboja yang berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh.
Pesawat dijangka mendarat pada pukul 5 petang esok.
Mereka ditahan di Kemboja kerana didakwa terlibat dalam sidiket perjudian dalam talian, serta dipercayai menjadi mangsa perdagangan orang. Kerajaan Kemboja semalam melepaskan mereka di bawah jagaan Fatimah.
Beliau berkata rancangan awal adalah untuk membawa 47 rakyat Malaysia itu pulang mengikut kumpulan, tetapi rancangan itu dibatalkan untuk mengelakkan masalah lain.
Jelas Fatimah, beliau dan kesemua rakyat Malaysia itu - 33 dari Kuching, enam dari Sibu, Sarikei (1), Semenanjung (4) dan Sabah (3) - akan pulang bersama-sama. – 16 Februari, 2019.
Komen