Wan Azizah sokong penubuhan RCI


Christopher Rabin

Wan Azizah Wan Ismail menyokong penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman seperti didedahkan hakim mahkamah rayuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2019.

PENUBUHAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat rasuah kehakiman akan menjadi langkah baik dan adil, kata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail.

Walaupun keputusan akan dibuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Wan Azizah menyokong penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman seperti didedahkan dalam affidavit Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer baru-baru ini.

“Penting untuk kaji penubuhan RCI ini dan saya fikir ia akan menjadi langkah yang baik dan adil,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada sambutan Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, Dr Mahathir sedang mempertimbangkan perkara itu dengan serius.

Hamid memfailkan affidavit mendakwa hakim tertinggi membantu pihak swasta menipu kerajaan.

Beliau juga mendakwa berlakunya campur tangan kehakiman untuk mempengaruhi kes tertentu untuk berpihak kepada kerajaan.

Hamid memfailkan afidavitnya menyokong anak perempuan Karpal Singh, peguam Sangeet Kaur Deo bagi membuktikan Ketua Hakim Richard Malanjum gagal bertindak atas kes gangguan kehakiman.

Hamid mengatakan demi kepentingan sendiri ada sebilangan hakim memelihara bahkan menyokong jenayah perlembagaan yang dilakukan oleh mahkamah tertinggi.

Semalam Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengkaji keperluan RCI sebelum menubuhkan suruhanjaya berkenaan. – 16 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen