China selar Pyongyang kerana abaikan kecaman antarabangsa


CHINA tegas mengutuk ujian nuklear yang dijalankan Korea Utara dan menyelar Pyongyang kerana tidak mempedulikan kecaman antarabangsa berhubung program senjata nuklearnya.

“Korea Utara tidak mempedulikan bantahan masyarakat antarabangsa yang tersebar, sekali lagi menjalankan ujian nuklear. Kerajaan China menyatakan bantahan dan mengutuk dengan tegas perkara ini,” kata kementerian luar dalam satu kenyataan di laman webnya.

“Kami secara menggesa DPRK (Korea Utara) untuk berdepan dengan gesaan kuat denuklearisasi daripada masyarakat antarabangsa, akur dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB, hentikan mengambil tindakan salah yang akan memburukkan lagi situasi dan tidak sealri dengan kepentingannya sendiri, serta kembali ke landasan sepatutnya untuk menyelesaikan masalah menerusi dialog,” tambahnya.

Ujian terbabit merupakan yang keenam dijalankan Korea Utara dan ia jauh lebih besar berbanding mana-mana senjata yang dilancarkan sebelum ini.

Pyongyang mengisytiharkan ujian yang dipanggil bom hidrogen itu sebagai satu “kejayaan sempurna.”

Beijing merupakan sekutu diplomatik utama Korea Utara dan penyokong ekonomi negara itu dan dilihat memainkan peranan penting dalam usaha untuk menghalang Pyongyang meneruskan program senjatanya.

Ujian itu dijalankan beberapa jam sebelum Presiden China Xi Jinping dijadualkan untuk merasmikan sidang kemuncak negara BRICS di selatan China. – AFP, 3 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen