SEBANYAK 100,000 permohonan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari 25 kawasan Parlimen di Sabah, kata Ahli Parlimen Beluran Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata sehingga kini belum ada cawangan Bersatu ditubuhkan di negeri ini.
“Kami menjangkakan lebih ramai akan menyertai Bersatu apabila parti itu mengembangkan sayapnya secara rasmi di negeri ini,” katanya.
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan kemasukan parti berkenaan ke Sabah.
Ronald merupakan antara lima ahli Parlimen, sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua senator di Sabah mengumumkan keluar Umno pada 12 Disember tahun lepas.
Salah seorang daripada mereka iaitu Adun Tempasuk Musbah Jamil menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).
Ronald yakin dengan adanya Bersatu di Sabah akan memberi pilihan politik kepada rakyat negeri ini. – Bernama, 15 Februari, 2019.
Komen