Putra ke mahkamah jika KDN tidak jelaskan status penubuhannya


Mohd Farhan Darwis

Anggota penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan ke mahkamah sekiranya Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin masih gagal memberikan jawapan berhubung status penubuhan parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2019.

ANGGOTA penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan ke mahkamah sekiranya Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin masih gagal memberikan jawapan berhubung status penubuhan parti itu, kata ketua penerangan penajanya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Khairul Azam berkata, enam bulan selepas membuat permohonan untuk didaftarkan pada Ogos tahun lalu, pihaknya masih belum dapat maklum balas sama ada Putra diluluskan atau sebaliknya.

“Pada Isnin depan kita akan hantar notis khas untuk beri tempoh masa 14 hari untuk menteri buat keputusan sama ada permohonan pendaftaran Putra diluluskan atau tidak. 

“Tamat tempoh itu jika menteri masih belum beri maklum balas terhadap notis, pada hari ke-15, kita akan failkan semakan kehakiman kegagalan menteri KDN untuk luluskan atau berikan respon dan sebagainya,” katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata, berbeza seperti penubuhan persatuan, yang hanya memerlukan kebenaran ketua pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS), penubuhan parti politik memerlukan kebenaran khas menteri dalam negeri.

Menurut Khairul Azam, tiada sebab untuk KDN menolak permohonan menubuhkan Putra kerana semua syarat yang ditetapkan RoS sudah dipenuhi.

“Tak ada sebab menteri menolak kita nak tubuhkan parti politik ini kerana semua syarat, termasuk senarai penaja yang kita hantar selepas tapisan insolvensi dan tapisan keselamatan Bukit Aman. 

“Disebabkan kedua-duanya dah lulus dan perlembagaan parti dah diluluskan RoS, tidak ada sebab lain menteri nafikan hak kami melainkan ia dibuat dengan niat jahat,” kata Khairul Azam lagi.

“Untuk bolehkan kita daftarkan juga Putra kalau tidak dapat kebenaran khas menteri kita akan minta kebenaran hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.

Penubuhan Putra yang menggunakan lambang ‘tanjak’ diumumkan presiden penajanya Ibrahim Ali pada 17 Ogos tahun lalu, empat hari selepas membuat permohonan pendaftaran Putra pada 13 Ogos.

Putra turut diterajui bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Khalid Yunus yang bertindak sebagai timbalan presiden penaja. – 15 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen