SPRM akan jumpa hakim dakwa wujud rasuah dalam kehakiman


Kalidevi Mogan Kumarappa

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi anti rasuah itu akan menghubungi Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer untuk mengatur pertemuan dalam waktu terdekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2019.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar pegawai kanannya untuk berjumpa Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung afidavitnya yang didedahkan semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi anti rasuah itu akan menghubungi Hamid untuk mengatur pertemuan dalam waktu terdekat.

Katanya, SPRM akan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada hakim itu sebelum menentukan tindakan selanjutnya yang akan diambil.

“Dakwaan itu serius dan ada elemen rasuah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata agensi anti rasuah itu boleh menjalankan siasatan sekiranya wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa mengikut peruntukan yang terkandung dalam Akta SPRM 2009.

Dalam afidavit difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hamid berkata bidang kehakiman ada satu pasukan yang bertugas memastikan kes tertentu berjalan mengikut apa yang kerajaan BN mahukan.

Afidavit Hamid sebagai sokongan kepada permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan ketua hakim gagal bertindak terhadap dua insiden yang didakwa berlaku campur tangan kehakiman.

Hamid juga meminta RCI ditubuhkan bagi menyiasat salah laku kehakiman seperti didakwa itu.

Di Pulau Pinang, peguam dan wakil rakyat di R S N Rayer memfailkan laporan kepada SPRM bagi menggesa agensi itu untuk menyiasat dakwaan Hamid tentang salah laku kehakiman.

Selepas menyerahkan salinan afidavit Hamid yang menggemparkan kepada SPRM Pulau Pinang pagi ini, Ahli Parlimen Jelutong itu berkata dakwaan itu sangat mengejutkan.

“Afidavit itu mendedahkan perkara seperti salah guna kuasa oleh bekas ketua hakim atau hakim-hakim ketika mereka membuat keputusan dalam kes seperti sabitan terhadap (bekas ketua pembangkang) Anwar Ibrahim dan (bekas pengerusi DAP) mendiang Karpal Singh,” katanya. – 15 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen