Polis tahan warga Singapura rancang letup bangunan di JB


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis menahan seorang ahli perniagaan Singapura dan lima individu lain kerana disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas IS di Selangor, Sabah dan Johor. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Februari, 2019.

SEORANG ahli perniagaan Singapura yang merancang meletupkan bangunan Freemason di Johor Baru dan lima individu lain ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas IS di Selangor, Sabah dan Johor.

Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman yang menjalankan operasi bermula 19 Disember, 2018 hingga 28 Januari lalu menahan dua warga tempatan dan empat warga asing dari Singapura, Filipina, Bangladesh dan sebuah negara di Asia Selatan berusia antara 21 dan 48 tahun.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata tangkapan pertama membabitkan ahli perniagaan Singapura berusia 48 tahun di Johor Baru pada 19 Disember tahun lalu.

Beliau berkata suspek merupakan rakan perniagaan seorang lagi suspek yang aktif berhubung dengan Akel Zainal iaitu rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di Syria dan membantu menyalurkan dana pada individu tersebut.

“Suspek juga menerima arahan daripada Akel Zainal untuk merekrut beberapa individu bagi melancarkan serangan ke atas bangunan Freemason di Johor Baru.

“Tangkapan suspek ini hasil kerjasama antara Jabatan Keselamatan Khas dan Internal (ISD) Singapura dan suspek diserahkan kepada pihak berkenaan pada 7 Januari lalu selepas selesai disoal siasat oleh Cawangan Khas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fuzi berkata tangkapan kedua pada tarikh sama di Klang, Selangor membabitkan seorang lelaki Bangladesh yang dipercayai menyokong kumpulan IS dan aktif menjalankan kegiatan merekrut individu di Malaysia untuk menyertai kumpulan pengganas.

“Turut ditahan dua lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai pekerja ladang di sebuah negara luar dalam operasi di Sepang, Selangor pada 10 Januari kerana didapati memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS.

“Seorang daripada suspek juga menyalurkan dana kepada Khairul Amizan Azmi iaitu rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di Syria,” katanya.

Fuzi berkata tangkapan seterusnya membabitkan seorang buruh binaan Filipina yang merupakan anggota Kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) dan menyusup masuk ke negara ini sejak Mac tahun lalu.

 “Suspek mempunyai kemahiran mengendalikan pelbagai jenis senjata api dan mempunyai kaitan dengan pemimpin ASG di Selatan Filipina, Furuji Indama.

“Tangkapan terakhir melibatkan seorang lelaki berasal dari negara di Asia Selatan berusia 26 tahun bekerja sebagai tukang rumah itu memberi perlindungan kepada seorang individu dari negara Asia Selatan yang disenaraikan dalam Notis Merah Interpol kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah serta keganasan,” katanya.

Semua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747). – 15 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen