Ujian nuklear Korea Utara cetus gegaran hingga ke China


Anggota Jabatan Meteorologi Korea Selatan menunjukkan pusat gegaran di Korea Utara yang mencetuskan spekulasi negara itu sedang menjalankan ujian nuklear. – AFP, 3 September, 2017.

UJIAN nuklear yang dipercayai dijalankan Korea Utara pada Ahad menyebabkan gegaran kuat yang dirasai sehingga ke timur laut China dan menggegarkan beberapa bandar selama lapan saat, menurut laporan media sosial.

Gegaran itu dirasai hingga ke bandar Changchun sekitar 400 kilometer (250 batu) dari barat laut lokasi ujian Korea utara di Punggye-ri, menurut stesen televisyen CCTV.

Di pekan kecil Yanji, kira-kira 20 kilometer dari sempadan, beberapa orang melaporkan bahawa gegaran itu agak kuta sehingga mereka terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Jiemiao Cangxin, yang menulis komen pada laman mikroblog berbahasa Cina Weibo berkata, bangunan tempat tinggalnya bergoyang menyebabkan dia bergegas lari keluar.

 “Saya hanya sempat memakai seluar dalam dan berlari keluar kerana ketakutan, tetapi ketika tiba di tingkat 1 saya melihat semua orang bertempiaran lari dan bukan saya seroang sahaja yang hanya berseluar dalam!” katanya.

“Di Yanji kami merasakan gegaran sehingga 10 saat,” kata pengguna Weibo Buziranshaonv.

“Ketika itu saya sedang berbaring dan cuba untuk tidur dan bila berlaku gegaran saya terjaga. Pada mulanya saya sangkakan saya bermimpi,” said seorang pengguna lagi.

 Ujian yang merupakan kali keenam dijalankan Korea Utara itu dilaporkan lebih besar berbanding sebelum ini, berukuran 6.3 pada skala richter menurut pemantau Amerika Syarikat.

Ia menjadikannya antara lima hingga enam kali ganda lebih besar berbanding usaha Pyongyang pada September tahun lalu, menurut agensi ramalan kaji cuaca Korea Selatan.

Korea Utara menyifatkan ujian bom hidrogen itu sebagai “kejayaan sempurna”.

Laporan letupan itu turut mencetuskan provokasi hingga ke China, di mana ramai yang membuat spekulasi berhubung tariikh ujian itu diadakan -  beberapa jam sebelum Presiden China Xi Jinping merasmikan sidang kemuncak negara BRICS di selatan China.

“Gempa bumi berlaku di Korea Utara, semua orang menjangkakan ia adalah ujian nuklear,” kata seorang lagi pengguna laman mikroblog itu dan menambah “ia merupakan suatu “ucapan salam” kepada sidang kemuncak di Xiamen?”. – AFP, 3 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen