BERSATU akan membuka cawangannya di Sabah, kata pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad namun menegaskan langkah itu tidak bertujuan menentang pentadbiran kerajaan negeri di bawah Warisan.
Dr Mahathir berkata kewujudan Bersatu di Sabah sebaliknya untuk mengukuhkan pentadbiran Ketua Menteri Shafie Apdal.
“Kita ke Sabah untuk kuatkan kerajaan Shafie. Kita tidak menentang. Kita daripada Pakatan Harapan (PH) dan PH terima Warisan dalam kerajaan.
“Kita ke sana untuk membantu bukan untuk tukar kerajaan. Kita buat keputusan ini melihat keadaan di Sabah itu sendiri.
“Kita lihat ada pihak yang sama sekali tidak ingin sertai Warisan tetapi mereka sokong PH dan sokong Bersatu,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur hari ini.
Dr Mahathir sebelum itu mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan tertinggi Bersatu yang antara lain membincangkan langkah melebarkan sayap parti itu ke Sabah.
Minggu lalu Dr Mahathir berkata perkara itu belum lagi diputuskan oleh parti.
Bersatu membuat keputusan ke Sabah ketika Umno negeri itu dilaporkan lumpuh selepas 21 daripada 25 ketua bahagiannya bertindak keluar parti Disember lalu.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah yang juga ADUN Negeri Sulaman Hajiji Noor sebelum ini berkata beliau sedang berunding dengan pemimpin Bersatu untuk membawa parti itu ke Sabah.
Shafie dalam reaksinya ketika itu berkata beliau berharap perkara itu tidak berlaku kerana Warisan dan Bersatu sudah ada kata sepakat mengenainya.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata walaupun Bersatu membuka cawangannya di Sabah, beliau memberi jaminan parti itu tidak akan menerima penyertaan mana-mana anggota parti komponen PH termasuk daripada Warisan.
“Keahlian mereka mestilah terdiri bukan daripada parti dalam kerajaan termasuk Warisan, DAP, Amanah, dan PKR. Mereka tidak akan diterima (masuk) Bersatu.
“Sebaliknya (bekas ahli) parti siapa sahaja yang ingin sertai Bersatu akan diterima dan tidak terhad kepada bekas ahli Umno sahaja,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Bersatu juga akan melakukan tapisan secara individu bagi mana-mana pihak yang ingin menyertai mereka.
“Ramai daripada parti lain ingin sertai Bersatu tetapi dengan syarat kita tapis permohonan mereka.
“Kita tapis secara individu bukan kumpulan. Inilah keputusannya,” katanya. – 15 Februari, 2019.
Komen