Bagaimana untuk selamatkan badan kehakiman 


Hujah di mahkamah dan duluan kehakiman selalunya hanya sandiwara untuk menyembunyikan keputusan yang sudah diatur di balik tabir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2019.

AFIDAVIT seorang hakim yang masih berkhidmat tentang salah laku kehakiman dan mengatur kes oleh hakim kanan semasa pentadbiran Najib hanya mengesahkan apa yang ramai rakyat Malaysia curigai sejak sekian lama. 

Ahli politik pembangkang dikenakan oleh hakim tinggi yang berkomplot dengan dalang politik Barisan Nasional (BN) manakala Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang sering pula dicabul oleh mereka yang sepatutnya mempertahankan undang-undang semata-mata untuk naik pangkat dan kepentingan diri. 

Hujah di mahkamah dan duluan kehakiman selalunya hanya sandiwara untuk menyembunyikan keputusan yang sudah diatur di balik tabir. 

Kita tahu atau setidak-tidaknya syak begitulah bagaimana urusan dikendalikan di Istana Kehakiman lama sebelum Hakim Hamid Sultan Abu Backer mendedahkannya dalam afidavit beliau. 

Sejauh mana ia sudah berubah sejak Najib Razak dan BN ditumbangkan oleh Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan? 

Nampaknya tiada yang berubah. 

Itulah yang didedahkan oleh hakim mahkamah rayuan itu dalam afidavit 65 halamannya yang menyingkap helah muslihat di peringkat tertinggi dalam badan kehakiman. 

Beliau memfailkan afidavit sebagai menyokong permohonan peguam Sangeet Kaur Deo meminta satu perisytiharan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum gagal menjalankan tugasnya melengkapkan siasatan terhadap dua kes campur tangan kehakiman. 

Katanya beliau berbuat demikian atas permintaan Sangeet, anak mendiang Karpal Singh yang banyak orang percaya jadi mangsa campur tangan politik semasa rayuannya terhadap sabitan kes hasutan didengar di mahkamah rayuan. 

Hamid mendedahkan keadaan badan kehakiman hari ini melalui contohnya bagaimana keadilan diselewengkan dalam rayuan Anwar Ibrahim, Karpal Singh dan Indira Gandhi serta bagaimana lantikan politik menipu kerajaan dengan pertolongan hakim. 

Beliau menyebut bagaimana hakim kanan gementar menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bimbang apakah mereka akan dihadapkan ke tribunal untuk menjawab segala tingkah laku mereka.

Kebimbangan mereka kerajaan akan bertukar dapat dirasai, kata Hamid. 

Namun kebimbangan mereka itu tidak berasas kerana semuanya berjalan seperti biasa selepas Ketua Hakim Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Makinuddin berundur. 

Hamid berkata pelantikan ketua hakim dan presiden mahkamah rayuan yang baharu menyakinkan banyak hakim bahawa tidak ada yang berubah walaupun rejim bertukar di Putrajaya. 

Katanya, mereka tahu semuanya masih seperti sedia kala dan ketakutan akan dihadapkan tribunal pun hilang

Pendek kata, Hamid mendedahkan hakim yang mengatur keputusan kes, menipu kerajaan dan memperlekehkan kedaulatan undang-undang masih lagi berkhidmat. 

Mengejutkan. Mencemaskan. Sangat bahaya. 

Hamid mungkin ada motif sendiri apabila mendedahkan salah laku dalam badan kehakiman.

Beliau mungkin kecewa tidak dinaikkan ke mahkamah persekutuan. Beliau mungkin digerakkan oleh cita-cita. 

Tetapi pendedahan melalui afidavit itu sangat menggemparkan untuk ditepis begitu saja. 

Afidavit itu mengatakan hakim yang menyarung jubah dan berkhutbah mengenai undang-undang adalah penyangak. 

Kerajaan yang mahu membetulkan institusi di Malaysia tidak boleh pejam mata atau tutup telinga terhadap dakwaan ini. 

Kerajaan yang akan mendakwa segerombolan pemimpin BN atas tuduhan rasuah dan wang haram tidak boleh berdiam saja. – 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen