PILIHAN raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dijangka ditandingi tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang setakat ini sudah mengumumkan calon masing-masing.
PH menamakan calon muda Mohd Aiman Zainali, 30, yang juga bendari Bersatu di Hulu Langat. Jurutera elektrik itu adalah juga menantu kepada penyandang DUN Semenyih, Bakhtiar Mohd Noor yang meninggal dunia pada 11 Januari lalu.
BN pula mengumumkan pemimpin akar umbi Umno Zakaria Hanapi sebagai calonnya.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika membuat pengumuman itu berkata pemilihan tersebut dibuat berdasarkan faktor anak tempatan dan mesra masyarakat.
“Calon Parlimen perlu ada kepakaran tetapi untuk calon DUN kita tidak perlu orang yang ada sijil berjela tetapi yang sentiasa bersama dengan rakyat,” kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan semasa mengumumkan pencalonan Zakaria.
Jelas Mohamad, Zakaria dipilih antara lain kerana beliau anak tempatan dan mesra masyarakat.
Majlis pengumuman calon BN turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Selangor Salehen Mukhyi.
PH dan BN mengumumkan calon masing-masing di Semenyih dalam senggang masa lebih kurang satu jam, sehari selepas PSM mengisytiharkan anak muda Nik Aziz Afiq Abdul, 25, sebagai calonnya semalam.
Pencalonan Aiman diumumkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Dalam ucapan ringkasnya, Aiman menyeru pengundi yakin pada kemampuannya jadi wakil rakyat mereka, untuk mengangkat suara mereka kepada kerajaan negeri serta ke Putrajaya.
“Yakin berbeza dengan percaya. Saya tidak minta tuan-tuan percaya saya tetapi saya minta tuan-tuan yakin pada saya.
“Saya akan buat yang terbaik bagi pihak penduduk Semenyih,” katanya, dengan suara agak gementar.
Pada PRU14, Bakhtiar menang dengan majoriti hampir 9,000 undi mengalahkan Umno dalam pertandingan empat penjuru yang disertai dua calon lain daripada PAS dan PSM.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian pada 2 Mac. – 14 Februari, 2019.
Komen