Belajar tentang Merdeka dan Malaysia


Desmond Davidson

Ahid Bohari bersama anaknya, Norsyida, 32, di depan gerai laksa mereka di Medan Kubah Ria di Kuching. – Gambar The Malaysian Insight , 3 September, 2017.

CITRA sebuah negara dilihat pada cerita-cerita rakyatnya. The Malaysian Insight bertemu dengan warga yang lahir pada 1957 dan sebaya dengan usia Malaya merdeka. Mereka berkongsi cerita untuk kita melihat apa maknanya jadi warga Malaysia.

Ahid Bohari sama tuanya dengan Malaya yang bebas merdeka daripada cengkaman penjajah British, tetapi bagi tukang masak dan pemilik Chef Ahid Laksa di Kuching ini, Merdeka itu satu acara yang tidak pernah dia dengar sehinggalah dia masuk Tingkatan Satu. Tegaknya sebuah negara bernama Malaysia pada 1963 pun dia tidak tahu sampailah dia masuk ke sekolah menengah.

Tetapi memang begitulah keadaannya di pedalaman Sarawak 60 tahun dulu. Kampung-kampung terputus langsung dari dunia dan tidak ada apa-apa yang boleh dipanggil “infrastruktur”. Cerita Ahid adalah sebuah kisah tentang kesedaran warga Malaysia Timur tentang kenegaraan dan identiti Malaysia.

“Malaya itu sama macam kampung di planet Marikh. Orang kampung saya cuma tahu nak pergi Kuching saja,” kata lelaki keturunan Melayu-Sambas, anak keenam daripada lapan beradik itu.

Hidup memang perit, katanya, mengenang ayahnya, seorang tukang kayu yang mendapat upah 30 dolar Sarawak sebulan.

“Zaman itu tak seberapa banyak,” kata Ahid, yang lahir dan membesar di Kampung Lubok Boyak.

“Zaman sekarang ini banyak orang tak begitu peduli, macam sabun mandi, zaman itu barang mewah. Saya dan adik beradik biasa mandi tak bersabun masa itu.”

Ahid, bekas pegawai Pelancongan Malaysia, masih lagi ingat bilik air keluarganya — Sungai Sarawak yang mengalir membelah kampungnya.

“Ini yang paling seronok. Terjun sungai, berenang dan tangkap ikan bawa balik untuk makan adalah kenangan zaman kanak-kanak yang indah.”

Kampung Lubok Boyak, yang bermaksud “lubuk buaya” letaknya cuma 16km dari Kuching. Tetapi pada 1960-an, kampung itu terletak jauh di tengah hutan tebal. Pada tahun 1970-an, ia jadi medan perang semasa zaman pemberontakan komunis.

Tidak ada jalan keluar masuk di kampung ini dahulu, kata Ahid.

Untuk ke Kuching, penduduk kampung mula-mula sekali harus mudik ke hulu dengan sampan — ke arah bertentang dari Kuching — untuk sampai ke pekan Batu Kitang di jalan yang menghubungkan Kuching dengan Bau. Dari sana, mereka akan naik bas Sarawak Transport ke bandar.

“Kami duduk dalam dunia sendiri, tidak ada televisyen, tidak ada radio kerana miskin dan buta huruf,”  kata Ahid.

Peristiwa penting seperti kemerdekaan Malaya dari Britain atau persetujuan Sarawak untuk membentuk Malaysia bersama Sabah dan Singapura pada 1963 berlalu bagai hari-hari biasa yang lain di kampungnya.

“Saya tidak tahu tentang Malaya merdeka atau tentang Malaysia sampailah saya masuk Tingkatan Satu. Kami memang tidak tahu apa yang berlaku di luar kampung kecuali sedikit cerita di sini sana dari mulut mereka yang balik dari Kuching.

“Tetapi kalau ada orang yang bercerita tentang Malaya merdeka pun barangkali tak ada siapa di Kampung Lubok Boyak yang tahu apa maknanya,” katanya.

Tetapi kata Ahid ada sesuatu yang berubah kerana dia perasan tentera British tidak banyak berkawal di kampungnya semasa Konfrontasi dengan Indonesia. Tempat mereka sebaliknya diganti oleh tentera yang masih memakai seragam tentera yang hampir sama dengan yang dipakai oleh tentera British tetapi lencananya tidak serupa.

Antara perubahan yang masih diingat Ahid adalah perubahan uniform tentera yang berkawal di Sarawak semasa konfrontasi Indonesia. – Gambar fail The Malaysian Insight , 3 September, 2017.

‘Malaysia mengubah Sarawak’

Ahid mula belajar sedikit tentang Malaysia semasa dalam Tingkatan Satu, apabila dia berpindah ke Kuching untuk menyambung pelajaran persekolahan di sekolah menengah.

Sebelum itu, dia cuma pernah ke Kuching dua kali, kerana untuk ke bandar belanjanya tidak terjangkau biaya. Kali pertama dia datang menyaksikan lumba perahu dalam regatta Sarawak yang terkenal itu dan sekali lagi, semasa membuat kad pengenalan apabila umur masuk 12 tahun.

“Saya pindah ke Kuching untuk masuk Tingkatan Satu Sebenarnya saya seorang daripada enam orang di kampung saya yang lulus Common Entrance Examination (untuk masuk sekolah menengah). Abang kakak saya semua tidak lulus,” katanya.

Murid tahun enam yang ingin meneruskan persekolahan ke peringkat menengah di sekokah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan disyaratkan lulus peperiksaan awam itu.

Ahid bersekolah di SMK Tun Abang Haji Openg dan lulus peperiksaan Sarawak Cambridge. Sekolah itu dinamakan bersempena Gabenor Sarawak yang pertama apabila merdeka daripada Britain dan membentuk Malaysia pada 1963. Abang Haji juga merupakan ayah kepada Ketua Menteri Sarawak sekarang, Abang Johari Openg.

Biarpun mula tahu tentang Merdeka dan Malaysia, tetapi Malaya dan Malaysia semacam tidak ada apa-apa ertinya bagi Ahid. Hanya apabila dia meningkat dewasa dan bekerja, dia mula memahami sejarah negara.

“Kalau difikir-fikirkan, Malaysia banyak mengubah Sarawak,” kata Ahid yang pernah kerja jadi guru sementara, kerani Bank Negara dan kemudian pegawai pelancongan dengan Pelancongan Malaysia. Gaji pertamanya sebagai guru sementara ialah RM180 sebulan.

“Bijak leluhur kita dulu setuju untuk Sarawak jadi bahagian Malaysia. Saya lihat anak-anak muda di luar bandar hari ini menikmati hidup yang lebih baik berbanding zaman saya dahulu.”

“Saya nampak banyak pembangunan berjalan. Ada banyak juga peluang pendidikan, tidak macam Sarawak pada tahun 1970-an yang tidak ada pilihan.”

Melanjutkan pelajaran pada masa itu bermakna belajar di luar negara, sesuatu yang tidak terfikir oleh keluarga Ahid.

Bertahun-tahun kemudian barulah dia mampu mendaftar pengajian luar kampus dengan Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) untuk mendapatkan segulung diploma, yang membuka jalan kepadanya untuk naik pangkat sebagai pegawai pelancongan. Dia juga berpeluang ditukarkan ke Australia.

Ahid juga pernah mengecapi kecewa, ketika dia meninggalkan Pelancongan Malaysia untuk menjadi usahawan pelancongan dan kembara. Perniagaannya tidak menjadi dan untuk menampung keluarga dan pendidikan enam anaknya, dia bekerja antaranya sebagai mandor tukang cuci dan jurujual kereta.

Kini, setelah anak-anaknya mengambil alih, Ahid ada masa untuk melakukan apa yang paling dia suka — memasak.

Kedai makannya, Chef Ahid Laksa kini antara tempat yang menawarkan laksa Sarawak kesukaan ramai di Kuching. Malah Perdana Menteri Najib Razak juga sudah menikmatinya semasa melawat Sarawak tidak lama dulu. Bekas ketua menteri Adenan Satem juga dulu pelanggan tetapnya.

Perniagaan laksa ini membantu anak-anaknya meneruskan pengajian untuk jadi jurutera, guru dan seorang lagi jadi krew kabin sebuah syarikat penerbangan.

Kualiti hidup sudah meningkat, tetapi sama juga dengan kos sara hidup dan amalan rasuah, katanya.

Kekecewaanya yang terbesar sebagai warga ialah rasuah, katanya.

“Saya harap apabila menyambut Hari Malaysia 16 September nanti, pemimpin kita akan berikrar menghapuskan rasuah dari negara ini.” – 3 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen