CALON Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk Pilihan Raya Kecil Semenyih Nik Aziz Afiq Abdul mahu mengikut jejak kepimpinan tokoh yang mempunyai nama sama dengannya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Calon tempatan berusia 25 tahun itu dinamakan sebagai calon PSM malam tadi. Beliau menguruskan pusat urut tradisional di Semenyih dan keluarganya mempunyai hubungan rapat dengan PAS.
Ayahnya, Abdul bin Abdul Karim adalah bekas orang kuat PAS Selangor dan pernah menjadi pengurus pilihan raya Selangor pada Pilihan Raya Umum 1995.
Nik Aziz, yang dinamakan sempena bekas Mursyidul Am PAS Nik Aziz berkata beliau menjunjung tinggi pemimpin itu.
“Ya, saya melihatnya sebagai tokoh yang saya boleh ikuti,” katanya.
Nik Aziz adalah contoh anak muda termasuklah ramai anak muda Melayu yang kini mendekati aliran sosialisme untuk mencabar pihak penguasa sekarang.
Beliau adalah anak bongsu daripada empat adik beradik, menghabiskan pengajian menengah di SMK Engku Husain di Semenyih, dan sekarang masih belajar di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra dalam diploma Pengajian Islam.
Beliau juga adalah ahli jawatankuasa dan setiausaha Pemuda PSM.
Melibatkan diri dalam aktivisme, beliau beberapa kali bermasalah dengan pihak berkuasa, malah pernah ditahan kerana berdemo menentang tindakan merobohkan ladang penternakan di Klang.
Selain aktif beraktivisme dan menguruskan perniagaan sendiri, beliau juga bekerja sebagai pembantu guru di beberapa sekolah pra pendidikan.
Nik Aziz dijangka menjadi calon paling muda bertanding di Semenyih.
Pakatan Harapan dan Barisan Nasional akan menamakan calon masing-masing hari ini.
Penamaan calon akan dibuat pada Sabtu, dan pengundian akan berlangsung pada 2 Mac depan.
Pada PRU14, Bakhtiar Mohd Nor (PH) menang dalam pertandingan empat penjuru merebut kerusi itu.
PRK Semenyih diadakan selepas kematian Bakhiar kerana serangan jantung. – 14 Februari, 2019.
Komen