POLIS Diraja Malaysia (PDRM) perlu segera menjejak suami dan anak Indira Gandhi, seperti mana yang diputuskan oleh mahkamah, bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada pasukan keselamatan itu, kata badan masyarakat.
Mereka berpendapat rakyat tidak dapat percaya bahawa polis, dengan segala kemampuan dan teknologi yang ada, sehingga hari ini masih gagal mengesan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah, yang menukar agama tiga anak mereka kepada Islam sedekad yang lalu.
Mahkamah Persekutuan tahun lalu memutuskan penukaran agama kanak-kanak itu tidak sah dan terbatal tanpa izin daripada ibu mereka.
Mahkamah memerintah Riduan ditahan sementara anak bongsu pasangan itu, Prasana Diksa, 10, dikembalikan kepada ibunya. Riduan melarikan anak itu ketika umurnya tidak sampai setahun, meninggalkan dua anak yang lebih tua pada Indira.
Walaupun menang di mahkamah, Indira berkata ia tidak bermakna kerana sehingga hari ini beliau masih tidak melihat Prasana yang kali terakhir dilihatnya semasa berumur 11 bulan.
Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) berkata tindakan pantas PDRM dalam menangani isu ini akan membantu memulihkan kepercayaan masyarakat kepada pasukan polis.
Pengerusi MCCF Halim Ishak berkata, masyarakat sekarang lebih berani menghukum dan menghina PDRM melalui media sosial jika pasukan itu lambat menyelesaikan kes-kes yang melibatkan kepentingan umum seperti kes Indira ini.
“MCCF juga berharap PDRM perlu lebih tegas dalam menangani kes-kes berprofil tinggi serta berintegriti dalam membanteras jenayah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau yang juga bekas anggota Komando 69 (VAT69) berkata, MCCF amat prihatin dengan cabaran dan bebanan tugas warga PDRM dalam menangani jenayah era zaman teknologi kini.
“Gunakan segala kecekapan dan teknologi untuk menjejaki suami Indira,” katanya.
Sementara itu, badan hak wanita, Sisters in Islam (SIS) kesal kerana polis masih gagal mengesan suami dan anak Indira meskipun kes itu sudah selesai setahun lalu.
Pengurus komunikasi SIS Majidah Hashim berkata, kes ini telah selesai sejak lebih setahun tetapi rasa sakit hati akibat kehilangan anaknya terus menghantui Indira.
“Semua yang Indira ingin adalah bertemu dengan anak perempuannya dan maklum kepada anaknya yang ibunya cukup sayangkan dia.
“Selepas menghabiskan masa, sumber dan tenaga, derita tidak tahu di mana anak sendiri berada adalah sesuatu yang tidak perlu dilalui oleh seorang ibu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
SIS yakin polis mempunyai sumber yang mencukupi untuk mencari bekas suami dan anak perempuan Indira.
“Jika sebaliknya yang berlaku, ia tidak memberi keyakinan kepada kemampuan PDRM untuk bertindak demi kepentingan awam,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN) Norhimah Aziz, berkata selain polis, orang ramai yang mempunyai maklumat di mana suami dan anak Indira berada perlu tampil memberi kerjasama membantu menyelesaikan isu ini.
“10 tahun bukan satu tempoh yang singkat dan diharap penantian Indira akan berakhir dalam masa terdekat.
“Saya berharap PDRM akan mengesan suami Indira secepat yang mungkin demi kepentingan awam,” katanya.
Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pula menuntut penjelasan daripada PDRM mengenai kegagalan mereka mencari dan menahan Riduan.
Pegawai Advokasi dan Komunikasi WAO Tan Heang-Lee berkata, lima tahun sudah berlalu sejak mahkamah memberikan perintah kepada PDRM untuk menangkap bekas suami Indira dan pasukan itu perlu memberi penjelasan kenapa mereka masih gagal mencari dan menangkap suami Indira.
“PDRM perlu mematuhi perintah mahkamah tersebut dan menunjukkan bahawa mereka komited dalam melaksanakan tanggungjawab mereka mengikut undang-undang,” katanya.
Menurutnya, Indira juga berhak tahu perkembangan kes ini, memandangkan Indira ada hak penjagaan terhadap Prasana yang dilarikan bekas suaminya.
Polis sehingga ini masih gagal mengesan anak perempuan dan bekas suami Indira meskipun sudah membuat rayuan mendapatkan maklumat mengesan mereka.
Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun sebelum ini beberapa kali merayu kepada orang ramai untuk tampil dengan sebarang maklumat mengenai bekas suami dan anak perempuan Indira, tetapi sehingga kini tiada sebarang hasil.
Rayuan maklumat yang terkini adalah pada 17 Januari lalu.
“Pencarian akan berterusan kerana ini adalah perintah mahkamah yang diberikan kepada kami,” kata Mohamad Fuzi. – 15 Februari, 2019.
Komen