PSM letak calon muda di Semenyih


Timothy Achariam

Nik Aziz Afiq Abdul (tengah) dinamakan sebagai calon PSM untuk bertanding di PRK Semenyih pada 2 Mac depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Februari, 2019.

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) menamakan Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac depan.

Pengerusi PSM Nasir Hashim mengumumkan pencalonan belia tempatan itu pada sidang media di Semenyih malam ini.

Nik Aziz, 25, seorang pakar urut tradisional akan bersemuka calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya tersebut.

Namanya mirip arwah Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beliau mengakui menjadikan Allahyarham sebagai idolanya.

Bersatu akan mewakili PH manakala BN akan diwakili oleh Umno.

Kedua-dua parti itu akan mengumumkan calon masing-masing esok.

Hari penamaan calon bagi PRK Semenyih ditetapkan pada Sabtu ini.

Turut hadir ahli jawatankuasa pusat PSM dan bekas calon, S Arutchelvan bersama ketua Pemuda parti Khalid Ismath.

Nik Aziz berkata PSM mahu berperanan sebagai parti imbang dan semak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang didominasi oleh PH.

“Kita mahu imbang dan semak di Selangor yang mempunyai 51 daripada 56 kerusi DUN milik PH,” katanya.

“Kita bimbang jika mereka mempunyai kuasa tanpa imbang dan semak, mereka akan menjadi korup.”

Nik Aziz berkata PSM mahu berperanan sebagai parti imbang dan semak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang didominasi oleh PH. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Februari, 2019.

Nik Aziz turut menyentuh isu air di Selangor sebagai satu contoh utama kerajaan Selangor yang tidak menunaikan janjinya.

“November lalu, mereka berkata air tidak lagi percuma. Isu sebegini yang akan kita perjuangkan,” katanya.

Arutchelvan yang merupakan calon PSM di Semenyih dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini, akan menjadi pengurus kempen Nik Aziz.

“Beliau merupakan usahawan tempatan yang mempunyai perniagaan urut sendiri. Beliau memahami isu di sini,” kata Arutchelvan.

Tambahnya Nik Aziz sudah bersama PSM sejak 2015 dan berkhidmat dalam pelbagai peringkat di pusat dan Semenyih.

“Beliau membantu saya dalam banyak isu kemiskinan di kawasan ini,” kata Arutchelvan.
 
Katanya Nik Aziz merupakan calon terbaik memandangkan 50% pengundi di sini berusia bawah 40 tahun.

“Bagi kami, beliau adalah calon terbaik, muda dan dinamik,” katanya.

Bagaimanapun Arutchelvan menafikan faktor kaum sebagai pemilihan Nik Aziz yang bertanding di kawasan majoriti orang Melayu.

“Asal kaumnya tidak pernah diambil kira. Kita melihat beliau berkhidmat di kawasan ini dan tahu isu di sini, sebab itu beliau dipilih,” katanya.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen