Penganut kuil Seafield gagal halang One City ambil alih tanah


Bede Hong

Plaintif gagal memuaskan pihak mahkamah bahawa wujudnya keperluan khusus menghalang saman itu dan One City adalah pemilik tanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menolak permohonan injunksi interlokutori oleh penganut Hindu di kuil Sri Maha Mariamman Seafield untuk menghalang One City Development daripada mengambil alih tanah tempat rumah ibadat didirikan dan memusnahkan strukturnya.

Hakim Wong Kian Kheong berkata plaintif, yang mewakili 50 penganut, gagal “menunaikan kewajipan untuk memuaskan hati mahkamah bahawa ada keadaan khusus” untuk menghalang saman itu dan One City adalah pemilik berdaftar tanah berkenaan.

Beliau berkata plaintif tidak mempunyai locus standi kerana mereka hanya penganut dan kuil itu diwakili oleh badan pengurusan yang diketuai oleh K Chellappa, satu daripada tujuh responden yang dinamakan dalam permohonan injunksi.

Wong menambah yang peguam negara “tidak mempunyai kuasa” berhubung hal tanah, memandangkan perolehan tanah terletak di bawah kuasa negeri Selangor.

Mengenai hak adat agama Hindu, Wong berkata: “Tiada bukti adat Hindu mempunyai kuasa undang-undang dalam kes ini.”

“Dalam apa jua keadaan, sebarang adat penggunaan tanah tidak boleh menggantikan peruntukan yang jelas dan kodifikasi Kanun Tanah Negara berkenaan dengan hak pemilik berdaftar tanah yang dijamin di bawah Perkara 13 (1) Perlembagaan.”

Permohonan injunksi itu difailkan oleh M. Ramachandran dan 49 yang lain terhadap tujuh defendan, termasuk One City, kerajaan Selangor dan Chellappa, bekas presiden kuil.

Wong menetapkan 5 Mac untuk menentukan kos yang akan diberikan kepada tujuh defendan.

Peguam plaintif T. Rajasekaran berkata beliau akan merujuk kepada anak guamnya sama ada untuk mengemukakan rayuan.

Peguam One City, Claudia Cheah Pek Yee, memberitahu pemberita pemaju “bebas untuk meneruskan.”

“Sama ada pemaju akan berbuat demikian, ia adalah isu lain. Terdapat banyak prosiding lain yang mencabar kesahihan penghakiman persetujuan di mahkamah awam.” – 13 Februari, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen