.jpg)
JANJI Malaysia Baharu mesti dibentuk dengan ketelusan dan penglibatan semua pihak yang berkepentingan terutamanya ketika kami – rakyat – sedang berdepan dengan krisis makanan.
Mari kita fahami latar belakang ini:
Dianggarkan lebih daripada 40% pendapatan dalam kalangan isi rumah B40 dibelanjakan untuk makanan asas, berbanding 18% purata nasional.
Bagaimanapun perbelanjaan untuk protein (dari daging dan ikan) masih rendah kerana tidak mampu dibeli.
Laporan terbaru Unicef pula menunjukkan kanak-kanak berumur di bawah 5 tahun mengalami kekurangan zat makanan sementara lebih 20% kanak-kanak di Malaysia bantut – lebih teruk daripada Ghana (18%).
Import makanan dan hasil pertanian pula kini mencecah RM84 bilion setahun.
Dengan latar belakang itu, kerajaan kini lebih terdesak untuk bersikap terbuka, jujur, profesional dan inklusif dengan rakyat untuk mencari penyelesaian yang tuntas.
Sekiranya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sudah menjalankan kajian semula separuh penggal terhadap Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) dan berhasrat merumuskan hala tuju baru pertanian, ia tentunya satu langkah yang tepat pada masa.
Ia akan jadi lebih bermakna sekiranya melibatkan semua pihak yang berkepentingan atau pemegang taruh, dan bukannya hanya berlegar dalam kalangan lantikan politik dan pihak berkepentingan yang tidak terlibat.
Lebih molek lagi sekiranya kerajaan mengeluarkan satu Kertas Putih di Parlimen pada sidang akan datang.
Kertas Putih itu hendaklah menggariskan dengan terperinci letak duduk dasar pertanian yang ada, termasuk kelemahan dasar, dana awam yang dibazirkan, program yang tersasar, R&D yang tidak menghasilkan apa-apa, pasaran yang diputar belit oleh monopoli, kartel AP dan ketirisan besar (ingat NFC) yang dibayar dengan cukai daripada gaji rakyat yang tidak naik-naik.
Justeru, demi harapan sebuah Malaysia Baharu, biarlah saya sebagai seorang petani biasa yang juga menjalankan penyelidikan pertanian di ladang sendiri di Tanjung Karang memberikan sedikit pandangan tentang hala tuju baru pertanian.
Hala tuju dan matlamat pertanian negara seharusnya meliputi hal-hal berikut:
1. Sekuriti makanan
Tingkatkan pengeluaran dan penghasilan untuk memenuhi tahap sara diri dengan mengurangkan kos pengeluaran seperti daun sorgum untuk makanan ternakan serta menghadkan ekstrak isirong sawit sehingga memaksa penggantungan kepada import yang merupakan 70% kos ternakan.
Tingkatkan kesuburan tanah dengan kaedah biopemulihan organik. Sesuaikan baka ternakan untuk daging dan susu dengan iklim tempatan, misalnya dengan baka kambing kacukan dan bukannya bergantung pada baka import atau seludup yang terdedah pada penyakit, yang kemudiannya disamarkan sebagai hasil ternakan tempatan di negara jiran.
Perkenalkan program bank benih bagi menangani kekurangan benih padi pada musim menanam berikutnya.
Perkenalkan teknologi perladangan pintar yang direka dengan Internet of Things pertanian dan sistem berkaitan yang dibangunkan sendiri, dan bukannya bergantung pada teknologi dan sistem pengurusan pertanian bersepadu import.
2. Keselamatan makanan
Kita mesti menetapkan sasaran 100% pertanian organik dengan menggunakan baja organik, racun tanaman dan serangga dari mikrob tempatan, memulihkan tanah pertanian yang sarat dengan bahan kimia, mengurangkan penggunaan antibiotik pada ruminan, ayam dan ikan.
Jalannya panjang dan berliku. Tetapi kita mesti bermula sekarang kerana negara jiran sudah jauh meninggalkan kita di belakang. Dunia juga dari masa ke masa kini bercakap tentang isu keselamatan.
3. Kemampuan makanan
Kita mesti mengoptimumkan rantai nilai bekalan dan permintaan melalui platform digital dan analisis data besar yang membolehkan petunjuk harga, perbandingan harga sebelum, semasa dan unjuran dilihat oleh pengguna dan pengeluar.
Dari segi permintaan (pengguna), strateginya ialah dengan meningkatkan penggunaan melalui:
i. Maklumat harga pasaran yang lebih telus untuk memudahkan pengguna membuat perbandingan harga melalui platform digital dan media lain.
ii. Mengurangkan pembaziran makanan kerana tabiat buruk dan kos persiapan makanan yang rendah.
iii. Bekalan makanan yang sara diri melalui program sedia ada dan menggalakkan koperasi pertanian masyarakat.
iv. Pembelian secara pukal dan rangkaian pengedaran secara catuan.
Dari segi bekalan (pengeluar) pula, strateginya ialah dengan meningkatkan pengeluaran makanan melalui:
i. Mengurangkan kos pengeluaran. (Baja, racun tanaman dan serangga dinilai berjumlah RM1.43 bilion pada 2016 manakala import makanan RM4.55 bilion)
ii. Program pembelian pukal pengeluar melalui koperasi untuk harga yang lebih murah.
iii. Meningkatkan kecekapan proses melalui IoT, jentera dan bioteknologi dalam perladangan, penternakan dan akukultur bagi memenuhi keperluan sara diri iaitu beras 70%, sayur-sayuran 90%, daging 28% dan susu 13%.
Senarai ini bukanlah muktamat. Saya percaya kementerian ada banyak lagi dasar dan program (dengan dana yang besar) melalui pelbagai agensi seperti Mardi, Fama, Nafas dan sebagainya, yang data besar dan maklumatnya sepatutnya lebih mudah diakses oleh rakyat.
Pada masa sama saya percaya tidaklah keterlaluan sekiranya kad laporan tahunan dikeluarkan untuk rakyat demi ketelusan.
Ini bagi mengukur bukan saja Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tetapi prestasi, ketelusan dan kecekapan kos semua kementerian, menteri dan penjawat awam berbanding sasaran yang ditetapkan.
Adalah lebih baik sekiranya rakyat juga dilibatkan dalam semangat demokrasi penyertaan dan inklusif Malaysia Baharu.
Akhirnya, marilah kita segera membetul dan menyelesaikan krisis makanan negara, bersama-sama. Saya mengalu-alukan dan mengucap tahniah kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang akan melancarkan hala tujunya tidak lama lagi.
Keselamatan makanan ada keselamatan nasional. – 13 Februari, 2019.
* Faisal KS, seorang petani dan penyelidik pertanian di Tanjung Karang.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen