KEKERASAN dan pembunuhan terhadap etnik Rohingya seolah-olah tidak berpenghujung. Ia terus berlaku tanpa penyelesaian konkrit untuk mengakhiri penderitaan etnik minoriti yang disebut PBB pada 2013 sebagai kelompok yang mengalami penganiayaan paling kejam di dunia.
Terbaru, Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) terpaksa menghentikan bantuan Program Makanan Sedunia (WFP) di Rakhine ketika angka kematian melibatkan Muslim Rohingya dan etnik Buddha yang terus meningkat.
Ini menjejaskan kira-kira 120,000 penerima bantuan yang majoriti terdiri daripada Muslim Rohingya, tidak memperolehi makanan kerana tuduhan pihak pemerintah yang organisasi bantuan antarabangsa itu menyokong pemberontak.
Lewat semalam, AFP melaporkan kira-kira 60,000 pelarian yang kebanyakannya Muslim Rohingya membanjiri Bangladesh selepas pertempuran meletus sejak lapan hari lalu sementara ribuan lagi terkandas di sempadan Bangladesh-Myanmar.
“Semua operasi bantuan di Rakhine digantung atas sebab keselamatan, menjejaskan 250,000 penduduk yang hilang tempat tinggal dan penduduk lain yang paling terdedah kepada keganasan,” kata WFP dalam satu kenyataan.
Dilabel sebagai pendatang tanpa izin di Myanmar dan kebanyakannya dinafikan kerakyatan, etnik Rohingya adalah majoriti terbesar yang mati dan berpindah-randah sejak 2012.
Mengikut angka terbaharu daripada UNHCR, seramai 58,000 melarikan diri ke Bangladesh dalam keganasan yang berterusan itu.
Puluhan ribu diusir oleh pegawai sempadan Bangladesh, sementara ramai yang mati ketika cuba menyeberangi Sungai Naf yang memisahkan Myanmar dan Bangladesh. Kebanyakan mereka mati di atas bot sementara dan apungan (kayu terapung).
Mati tidak bersemadi
Anwar, lelaki Rohingya yang terkandas di sempadan Myanmar petang semalam bimbang jika mereka ditemui oleh askar Myanmar.
“Saya melihat tiga hingga empat orang mati di sepanjang perjalanan. Tiada siapa yang mengkebumikan mereka,” katanya kepada AFP menerusi telefon. DIa juga meminta lokasi atau nama penuhnya tidak didedahkan.
Anwar bersama isteri dan tujuh anak mereka berjalan selama tiga hari ke sempadan. Mereka hanya bergantung harap kepada kegelapan malam melindungi mereka untuk meloloskan diri ke Bangladesh.
Dia juga melahirkan rasa marah kepada militan Rohingya yang melancarkan serangan minggu lepas hingga mencetuskan kekerasan terbaharu tentera Myanmar yang memaksa mereka sekeluarga melarikan diri.
“Kami tak kenal mereka (militan),” katanya. “Kami tak buat apa-apa.”
Jumaat lalu, ketua tentera Myanmar berkata hampir 400 orang mati dalam keganasan itu dan 370 adalah militan Rohingya.
Menurut kenyataan jabatan bantuan Suruhanjaya Eropah, pihak berkuasa Myanmar menolak bantuan yang ditawarkan kumpulan bantuan asing untuk etnik Rakhine yang kehilangan tempat tinggal.
European Civil Protection and Humanitarian Aid Operations (ECHO) berkata akses ke utara Rakhine kekal “terputus”.
Kenyataan itu juga berkata kempen propaganda anti-PBB/NGO di media sosial masih berterusan.
Kawasan yang paling teruk menjadi larangan kepada wartawan. Tetapi menurut saksi yang tidak dapat disahkan, menceritakan berlakunya pembunuhan beramai-ramai dan kampung-kampung yang dibakar oleh tentera dan militan.
Pierre Peron, jurucakap PBB bagi hal Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, memberi amaran gangguan terhadap bekalan bantuan akan memberi “kesan kepada kemanusiaan yang besar”.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Jumaat memberi amaran yang keganasan boleh membawa kepada “bencana kemanusiaan” dan menggesa kerajaan Myanmar menyediakan kawalan keselamatan kepada agensi bantuan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan.

Sambutan Aidiladha
Di saat nyawa menjadi taruhan, pelarian Mulism Rohingya di Bangladesh bersyukur kerana masih berpeluang menyambut kedatangan Aidiladha walaupun jauh dari kampung halaman.
“Saya mempunyai segala-galanya di kampung ... tetapi sekarang saya menjadi pelarian. Tak banyak untuk diraikan tetapi ia kewajipan kita menunaikan sembahyang Aidiladha,” kata Makbul Hossain, 39, yang melakukan perjalanan berbahaya dari Rakhine ke bandar sempadan Bangladesh, Cox’s Bazar minggu lepas.
“Saya pernah berkorban semasa hari raya,” kata petani berusia 60 tahun, Deen Mohammad.
Tetapi dia terpaksa melarikan diri bagi menyelamatkan nyawanya selepas kejadian keganasan terbaru meletus pada Ogos lalu.
“Apabila pertempuran bermula, saya meninggalkan rumah dan segala-galanya. Saya tidak mempunyai wang di sini,” katanya sambil mengalirkan air mata. – AFP, 3 September, 2017.
Komen