UMNO akan menyediakan pasukan peguam bagi memantau kesalahan pilihan raya yang akan dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bermula Sabtu ini, kata Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.
Ismail berkata, pasukan peguam itu akan mula berkhidmat sebaik sahaja penamaan calon selesai sehingga hari pengundian dan akan menyenaraikan segala kesalahan pilihan raya yang dilakukan PH.
Katanya, berdasarkan pengalaman di PRK Cameron Highlands bulan lepas, PH terus melakukan pelbagai kesalahan pilihan raya walaupun selepas didedahkan kepada umum oleh Barisan Nasional dan laporan juga dibuat kepada pihak berkuasa.
“Saya percaya melihat kepada cara PH ini mereka tidak pernah menghormati undang-undang, mereka buat apa sahaja yang mereka suka seperti yang berlaku di Cameron Highlands.
“Walaupun selepas penamaan calon mereka bayar duit minyak dan kita sebarkan kesalahan mereka itu, tetapi mereka terus melakukan kesalahan sehinggalah ke hari mengundi apabila calon DAP memakai lambang parti di tempat mengundi.
“Maknanya walaupun mereka tahu mereka melakukan kesalahan dan telah pun didedahkan dari awal mereka tetap menggunakan kenderaan kerajaan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di bilik operasi BN di Semenyih hari ini.
SPR menetapkan penamaan calon bagi PRK Semenyih pada Sabtu ini manakala pengundian pada 2 Mac.
Semasa PRK Cameron Highlands polis mengesahkan menerima sekurang-kurangnya 17 laporan berhubung pelbagai kesalahan pilihan raya sepanjang 10 hari kempen, termasuk empat laporan berkaitan pemberian wang, kertas undi yang tersebar di media sosial serta kejadian koyak bendera di Sungai Koyan.
Calon BN Ramli Mohd Nor juga membuat laporan polis mendakwa kenderaannya dihalang oleh Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.
Ramli juga berkata Zulpuri mengeluarkan kata-kata kasar terhadap beliau dan pasukan kempennya selepas jentera BN berjaya mengesan kesalahan penggunaan kenderaan kerajaan oleh timbalan menteri itu.
Sementara itu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) turut mendakwa PRK Cameron Highlands mempunyai kesalahan paling tinggi tinggi pernah direkodkan berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Bersih mengesan 23 kes kesalahan pilihan raya berlaku sejak hari penamaan calon pada 12 Januari sehingga hari pengundian pada 26 Januari 2019 dengan 14 kes didakwa dilakukan oleh BN, lima kes oleh PH, dua kes melibatkan Pas.
Dua calon bebas dikesan tidak melakukan kesalahan.
Antara kesalahan pilihan raya yang dikesan Bersih 2.0 sepanjang tempoh itu ialah pemberian hadiah (empat kes), penyalahgunaan sumber negeri (tiga kes), rasuah dan pengaruh tidak wajar (dua kes), menyentuh sensitiviti kaum dan agama dalam kempen (empat kes) dan berkempen pada hari mengundi (sembilan kes). – 13 Februari, 2019.
Komen