Umno tak bersalin baju masuk Bersatu


The Malaysian Insight

Sekali pandang nampak seperti Umno di PWTC, tetapi suasana ini dirakam di PICC, tempat Bersatu berhimpun ketika Presiden Muhyiddin Yassin berucap, dan parti Melayu baharu itu membuktikan kebelakangan ini mereka meniti jalan lama keangkuhan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2019.

BANYAK yang berubah hanya dalam masa beberapa minggu.

Tidak berapa lama dulu, riuh rendah bunyinya apabila Hamzah Zainuddin dan beberapa wakil rakyat Umno hendak melompat masuk Bersatu.

Ada kebimbangan bahawa ahli-ahli Umno yang terpalit kontroversi ini akan membawa lumpur dan menjadi racun kepada parti Dr Mahathir Mohamad. Ada kebimbangan, dalam masa yang singkat, Bersatu akan jadi macam Umno – parti yang dipupuk dengan budaya wang dan cita-cita peribadi.

Itu beberapa minggu yang lepas.

Majlis menyambut tujuh ahli Parlimen bekas Umno menyertai Bersatu semalam sepatutnya membuatkan ramai dalam kalangan kita geleng-geleng kepala.

Kenapa?

Kerana hanya beberapa minggu ini, ahli-ahli politik Bersatu bercakap dan berbuat sesuatu yang menjadikan mereka seolah-olah dalam Umno. Apa yang mereka lakukan bertentangan dengan naratif kononnya ahli-ahli politik Melayu yang dipimpin Dr Mahathir menang pada 9 Mei tahun lalu tidak sama dengan mereka yang duduk dalam Umno.

Bersatu diasaskan Dr Mahathir Mohamad untuk melawan Najib Razak, Umno dan Barisan Nasional yang dakwa mereka penuh korupsi, tetapi sejak junjung kuasa 9 Mei lalu, beberapa kes pemimpin Bersatu yang berikrar tak mahu jadi Umno adalah cerminan sikap dan budaya keangkuhan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2019.

Pertama, kita dihadapkan dengan kebijaksanaan Naib Presiden Abdul Rashid Abdul Rahman.

Dalam Perhimpunan Agung Bersatu lalu, beliau mencadangkan agar dana persekutuan bagi pembangunan di peringkat bahagian disalurkan kepada pimpinan di bahagian seperti yang dilakukan kerajaan sebelum ini.

Alasannya – langkah itu akan membolehkan pemimpin Bersatu di bahagian dan cawangan dapat dana untuk kegiatan mereka.

Ucapannya macam dalam Perhimpunan Agung Umno, yang selalu berpaksi pada kronisme dan memupuk politik wang.

Tidak mahu kalah, menteri besar Johor buat keputusan mahu tunjuk lagak ketika Malaysia dan Singapura sudah bersetuju menyelesaikan pertikaian isu sempadan laut.

Osman Sapian naik bot dan melawat kapal Malaysia melalui kawasan perairan yang jadi pertikaian. Tindakannya mencetuskan kekecohan diplomatik antara dua negara sehingga membawa kepada penangguhan mesyuarat dua hala.

Kemudiannya kita dapat tahu bahawa tindakan menteri besar Johor itu tidak mendapat restu Putrajaya.

Baru-baru ini pula, Osman dan Timbalan Menteri Luar Negeri Marzuki Yahya terbelit dalam skandal memalsukan kelayakan akademik.

Osman dikatakan memiliki ijazah perakaunan dari Universiti Putra Malaysia manakala Marzuki mendakwa beliau graduan Universiti Cambridge.

Dua-dua pun tidak betul.

Semalam, Bersatu menyambut penuh hormat tujuh ahli Parlimen bekas Umno, tindakan yang mengecewakan banyak pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2019.

Marzuki kemudian menjelaskan beliau dapat ijazah dari Universiti Antarabangsa Cambridge, sebuah institusi yang tidak dikenali di Amerika Syarikat.

Osman pula hanya tersengih ketika ditanya wartawan tentang ijazahnya.

Sudah tentulah pemimpin Bersatu berpusu-pusu mempertahankan Marzuki, mendakwa kelayakan akademik yang tidak jelas itu sebenarnya bukan isu apa-apa.

Ketika di puncak kuasa, pemimpin Umno biasa menepis dakwaan salah laku terhadap wakil rakyat mereka termasuklah ketika buktinya jelas, terang dan nyata.

Di celah-celah semua episod tingkah laku wakil rakyat Bersatu yang mencemaskan ini, prestasi menteri-menteri dari parti itu juga merungsingkan.

Maka, tak usahlah risaukan dengan Bersatu.

Masuknya wakil rakyat bekas Umno ke dalam parti itu tidak akan melunturkan moral atau meracuni parti.

Hamzah Zainuddin dan yang lain-lain dari Umno tidak akan terasa bersalin baju apabila masuk Bersatu.

Ya, sesuatu yang mendukacitakan tetapi itulah hakikatnya. – 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen