LANGSUNG: Inkues kematian Adib diteruskan, koroner lawat lokasi kejadian


Noel Achariam

Tinjauan yang diketuai oleh Koroner Rofiah Mohamad itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menentukan apakah yang menyebabkan kematian angota bomba berusia 24 tahun itu yang cedera semasa rusuhan di kuil tersebut pada November lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Februari, 2019.

INKUES bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bersambung hari ini dengan koroner meninjau kawasan di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor.

Tinjauan yang diketuai oleh Koroner Rofiah Mohamad itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menentukan apakah yang menyebabkan kematian angota bomba berusia 24 tahun itu yang cedera semasa rusuhan di kuil tersebut pada November lalu.

Selepas dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dan kemudian dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Adib meninggal dunia pada 17 Disember.

Rombongan koroner itu melawat kawasan sebuah jentera bomba dan van bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan lokasi sebuah kereta dibakar pada jam 1 pagi, 27 November.

Semalam, ketua trafik ibu pejabat polis daerah Subang Jaya ASP Mohd Nasir Rahman memberitahu inkues beliau tidak nampak mana-mana anggota bomba dipukul pada malam itu.

Beliau menganggarkan sekitar 3,000 hingga 5,000 orang, dipercayai India, berkumpul depan kuil.

“Saya nampak trak itu diserang, tetapi saya tak nampak mana-mana anggota bomba dipukul.

“Saya juga tak nampak mana-mana anggota bomba keluar daripada trak dan van bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).”

Saksi ketiga yang memberi keterangan, Elliza Mohd Noor yang memandu trak bomba pada malam itu, berkata beliau mengundurkan kenderaannya selepas diserbu orang ramai yang berhimpun di kawasan kuil.

Katanya, beliau melanggar sesuatu tetapi tidak tahu apa yang dilanggarnya.

Elliza berkata ketika pasukannya tiba di tepat kejadian, mereka didatangi sekumpulan samseng yang berkumpul di sebuah kereta yang sedang terbakar.

“Mereka mula membaling batu dan menyerang trak bomba dan van EMRS. Saya takut dan mula undurkan trak.

“Kemudian saya terdengar bunyi seperti ketukan tapi tak rasa apa-apa.” – 12 Februari, 2019.

The Malaysian Insight membawakan prosiding itu secara langsung:

5.05pm: Timbalan pendakwa raya bertanya kepada Shahril mengapa beliau membuat andaian begitu.

Shahril berkata, jika perusuh menyerang trak dan van, ada kemungkinan mereka juga akan diserang.

Inkues akan bersambung esok.

4.45pm: Timbalan pendakwa raya bertanya kepada Shahril mengenai laporan polis yang dibuat oleh Penyelia Badrul berdasarkan penjelasannya mengenai apa yang berlaku semasa rusuhan.

Timbalan pendakwa raya berkata, laporan itu menyatakan yang Adib tidak dapat masuk ke dalam van dan dia dipukul oleh perusuh.

Beliau kemudian meminta Shahril menjelaskan mengenai laporan tersebut.

Menurut Shahril, beliau mengandaikan jika perusuh mahu membuka pintu van dan mahu menyerangnya, sudah tentu perkara sama akan dilakukan terhadap Adib.

“Tidak mustahil ini juga akan berlaku kepada Adib (diserang perusuh).

“Mereka sudahpun serang van dan trak, dan tidak mustahil akan serang dia juga.”

4.15pm: Timbalan pendakwa raya bertanya kepada Shahril jika dia nampak apa yang berlaku kepada Adib dalam tempoh 50 saat itu.

Shahril berkata tidak.

“Saya tergamam dan terkejut. Kemudian saya cepat-cepat memandu ke balai polis.”

Shahril berkata beliau turun untuk memeriksa keadaan van dan ternampak sebuah topi keledar berwarna merah-kelabu. Pintu gelongsor van di sebelah kiri hilang, manakala tayar van juga pecah.

“Kemudian saya nampak anggota bomba Hazim sedang turun dari van. Saya bertanya kepada dia di mana Adib dan dia kata tidak tahu.

“Wajahnya pada masa itu pucat dan masih dalam keadaan terkejut.”

3.45pm: Shahril berkata ketika membelokkan van ke sebelah kiri, beliau nampak Adib sudah berada di sebelah van.

“Selepas buat pusingan, saya belok ke kiri dan perasan yang Adib tiada dalam van.”

Timbalan pendakwa raya bertanya adakah Adib berada dalam van sebelum itu.

Shahril menjawab ya.

“Dia masih berada dalam van. Tetapi apabila mereka (perusuh) mula mendekati van, saya tak tengok ke arah dia.

“Saya lebih fokus kepada sebelah saya, semuanya berlaku dalam tempoh 50 saat.”

Tinjauan yang diketuai oleh Koroner Rofiah Mohamad itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menentukan apakah yang menyebabkan kematian angota bomba berusia 24 tahun itu yang cedera semasa rusuhan di kuil tersebut pada November lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Februari, 2019.

3.30pm: Timbalan pendakwa raya bertanya jika Shahril nampak apa yang berlaku pada sisi van di mana Adib berada.

Shahril berkata tidak, kerana suasana ketika itu kecoh.

Kemudian timbalan pendakwa raya bertanya bilakah rusuhan berlaku ketika Adib masih berada dalam van.

Shahril berkata beliau tidak perasan kerana situasi semasa itu tegang.

Timbalan pendakwa raya bertanya pula apa yang Shahril nampak dan apa yang beliau sedang lakukan ketika itu.

Shahril berkata pada masa itu tumpuannya lebih kepada pintunya yang cuba dibuka oleh perusuh.

“Sepanjang masa saya lebih fokus kepada sebelah kanan van.”

3.15pm: Timbalan pendakwa raya bertanyakan mengenai keadaan Adib ketika rusuhan.

Shahril berkata beliau terkejut dengan apa yang berlaku.

Timbalan pendakwa raya bertanya mengenai apa yang berlaku di sisi van di mana Adib berada.

Shahril berkata kedua-dua belah van itu dikelilingi orang.

Timbalan pendakwa raya kemudian bertanya jika orang yang terlibat dalam rusuhan mereka membawa apa-apa.

Shahril berkata beliau tidak nampak mereka bawa apa-apa.

3.05pm: Timbalan pendakwa raya bertanya berapa dekat kumpulan itu dengan van.

Shahril berkata menerusi cermin, beliau nampak lebih daripada tiga orang di sebelah kanan van.

“Mereka berada dekat dengan van. Mereka memakai topi keledar.”

Kemudian timbalan pendakwa raya bertanya jika beliau dapat mengecam mereka.

Shahril kata tidak, kerana keadaan pada masa itu gelap.

2.50pm: Inkues diteruskan dengan ahli bomba, Ahmad Shahril Othman yang memandu van EMRS yang turut dinaiki Adib, memberi keterangan.

Timbalan pendakwa raya meminta Shahril menerangkan situasi di sekeliling van EMRS ketika rusuhan berlaku.

Shahril berkata kira-kira 50 orang mengelilingi van.

“Kumpulan itu mula berlari ke arah van. Keadaan pada masa itu huru-hara.”


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen