Lawatan Fuzi ke Turki bukan hadiah persaraan, kata Muhyiddin


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata tidak tahu berapa pegawai kanan polis yang menyertai lawatan itu serta aturan perjalanan mereka, yang dikatakan menggunakan penerbangan kelas pertama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Februari, 2019.

LAWATAN Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun ke Istanbul, Turki hujung minggu lalu bukan hadiah persaraannya tidak lama lagi, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Menurut Muhyiddin, lawatan itu sebaliknya beliau luluskan sebagai lawatan sambil belajar dan dibiayai Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Muhyiddin bagaimanapun berkata tidak tahu berapa pegawai kanan polis yang menyertai lawatan itu serta aturan perjalanan mereka, yang dikatakan menggunakan penerbangan kelas pertama.

“Saya luluskan dan lawatan itu ditaja untuk membanteras perjudian dalam talian. Tetapi saya tidak diberitahu berapa ramai pegawai yang pergi ke Turki.

“Ia ditaja oleh Totalisator, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan,” kata Muhyiddin.

Lembaga Totalisator Malaysia ditubuhkan di bawah Akta Perlumbaan (Lembaga Totalisator) 1961, bertanggungjawab antara lain mengendalikan urusan lumba kuda di Malaysia.

“Tujuannya tentang perjudian dalam talian dan ia bermanfaaat. Bukan untuk bawa orang yang hendak bersara tidak lama lagi. Kita tidak buat macam itu.

“Saya mengaku saya luluskan kerana ia lawatan yang ada manfaat. 

“Tetapi seperti saya katakan, saya tidak tahu berapa ramai yang pergi dan tiket apa yang mereka beli,” tegas beliau.

Kunjungan Fuzi ke Istanbul didedahkan portal Sarawak Report pada Ahad.

Portal itu mendakwa Fuzi dan pegawainya menginap di Hotel Sura Hagia Sophia bertaraf empat bintang di Sultanahmet di Istanbul. 

Sarawak Report melaporkan kadar sewa hujung minggu di hotel berkenaan dianggarkan RM685 semalam, berdasarkan sebut harga di laman web tempahan penginapan booking.com.

Sarawak Report juga mendakwa kos penerbangan pergi balik mereka keseluruhannya dianggarkan lebih RM250,000.

Lawatan Fuzi dan 16 pegawai kanan polis itu bagaimanapun turut dipertikaikan oleh beberapa pegawai di Bukit Aman. 

Ketua Komunikasi Korporat Polis Di-raja Malaysia (PDRM) Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Asmawati Ahmad turut mengesahkan kepada The Malaysian Insight lawatan Fuzi adalah atas urusan kerja.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pegawai kanan lain yang bersama Fuzi.

Menurut Sarawak Report, antara mereka yang menyertai lawatan itu termasuk Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Wan Ahmad Najimuddin Mohd; pengarah Jabatan Narkotik, Mohamad Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Rohaimi Md Isa. – 12 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen