Polis tembak mati 2 warga Bangladesh dalang kes culik


Kalidevi Mogan Kumarappa

Dua warga Bangladesh yang ditembak mati dipercayai menjadi dalang sindiket penculikan rakan senegara mereka di Kuala Lumpur dan Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2019.

DUA lelaki warga Bangladesh ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan pihak polis di Taman Mudun, Batu 9, Cheras, hari ini.

Mereka dipercayai menjadi dalang sindiket penculikan rakan senegara mereka di Kuala Lumpur dan Selangor serta dikehendaki polis membabitkan satu kes bunuh di Dang Wangi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata selepas menerima maklumat kes culik seorang lelaki Bangladesh di Jinjang pada 8 Februari lalu, sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menyerbu lokasi kejadian pada jam 1.35 pagi tadi.

Katanya, rumah teres dua tingkat itu yang juga sebuah inap desa dipercayai menjadi lokasi menyembunyikan mangsa selepas diculik pada awal bulan ini dan ketika serbuan dilakukan, insiden tembak-menembak antara polis dengan suspek berlaku sebelum kedua-duanya berjaya ditumpaskan.

“Anggota melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri selepas suspek menembak ke arah polis. Polis turut menyelamatkan seorang mangsa culik warga Bangladesh berusia awal 30-an,” katanya.

Polis turut merampas sepucuk pistol jenis 9mm dan sebilah parang yang digunakan suspek.

Katanya, identiti dan warga negara kedua-dua suspek masih dalam siasatan berikutan tiada dokumen pengenalan dijumpai bersama suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya. – 12 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen