Sistem park and ride baharu, peniaga bersih antara inisiatif untuk KL tahun ini 


Sheridan Mahavera

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata pihak berkuasa mesti memastikan bahawa ia mempunyai sistem pengangkutan awam yang cekap sebelum sistem itu dimulakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2019

KUALA Lumpur akan menguji sistem park and ride di satu atau dua jalan utama yang sesak menjelang pertengahan tahun ini sebagai usaha bagi menangani masalah kesesakan di ibu negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Ini adalah antara usaha keutamaan untuk meningkatkan KL katanya, bersama dengan peningkatan tahap kebersihan di premis makanan dan pusat penjaja, dan meningkatkan tarikan pelancong.

Projek park and ride adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengurangkan jumlah trafik kenderaan penumpang ke pusat bandar.

Tetapi untuk melakukan itu, pihak berkuasa mesti memastikan bahawa ia mempunyai sistem pengangkutan awam yang cekap, kata Khalid dalam program soal jawab radio BFM hari ini.

“Kami mula membuat rancangan itu dan ia akan dijalankan beransur-ansur, dengan mengenal pasti kawasan-kawasan KL di mana terdapat lalu lintas yang sesak dan melihat di mana kita boleh adakan park and ride untuk menarik masyarakat,” kata Khalid.  

Sebuah park and ride adalah yang mana orang ramai meninggalkan kenderaan mereka di tempat letak kereta yang ditetapkan dan menaiki bas khas ke bandar.

“Diharap menjelang pertengahan tahun ini kita akan mulakan. Saya sudah bertanya kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur (Nor Hisham Ahmad Dahlan) untuk mengenal pasti laluan yang sesak dan tanah berhampiran untuk diwujudkan sistem park and ride.”
 
Tambah Khalid, menangani masalah kebersihan adalah sebahagian daripada moto kementeriannya “Wilayah dipeduli, Harapan dipenuhi” dan ia termasuk manik taraf pusat penjaja dan gerai makanan yang kotor. 

“Kita akan lakukan besar-besaran tetapi ia tidak boleh dilakukan dalam sehari dan ia akan memakan masa dan belanja yang besar. Sudah ada program untuk memindahkan peniaga jalanan ke pusat makanan di bandar.”

Kementerian dan DBKL juga memulihkan jabatan promosi pelancongan, dan mereka bekerjasama dengan persatuan dan agensi pelancongan mengenai cara menjadikan pusat bandar sebagai pusat seni dan budaya.

“Terdapat banyak cakap-cakap mengenai pembukaan teater awam supaya para pelancong dapat dihiburkan dengan kumpulan tarian. Ini salah satu idea untuk menjadikan KL lebih bersemangat dan aktif dan bersih.” – 11 Februari, 2019
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen